Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ketika simbolik pelancaran Jentera Perpaduan sempena Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Andalas, Klang pada 25 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN: Agihan kerusi HARAPAN, BN Selangor selesai, serah pada pimpinan pusat

KUALA LANGAT, 2 JULAI: Agihan kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) kini selesai.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya kini menyerahkan sepenuhnya ketetapan tersebut kepada Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian taman tema air SplashMania di Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat pada 2 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagi kami di Selangor telah selesai dan serahkan kepada pusat, mereka akan bincang serta tentukan.

“Boleh tanya Pengerusi HARAPAN sebab sekarang dalam tangan mereka,” katanya selepas merasmikan taman tema air Splash Mania di Gamuda Cove di sini hari ini.

Pada 23 Jun lalu, Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubar untuk membuka laluan PRN diadakan.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ketika menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya HARAPAN Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 24 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pada 24 Jun, HARAPAN Selangor melancarkan jentera yang membawa slogan #arusmerahkuning bagi mendepani menghadapi PRN yang dijangka Ogos depan.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DNS dibubarkan ialah HARAPAN memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, AMANAH-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DNS melebihi enam bulan.


Pengarang :