Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan trofi dan hadiah kepada pasukan bola sepak MBSA FC selepas merangkul kejuaraan Liga Super FAS 2023 di Stadium MBSJ pada 20 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

MBSA lakar sejarah tersendiri juarai Liga Super FAS 2023

Oleh Fitri Hazim Hazam

SUBANG JAYA, 21 OGOS: Kejayaan memenangi trofi Liga Super FAS 2023 buat kali pertama pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak MBSA.

Jurulatihnya Ahmad Faisal Yunos berkata disiplin dan kerja keras yang ditunjukkan pemain resipi kejayaan pasukannya untuk merangkul kejuaraan liga tahun ini.

“Kejayaan pada malam ini rezeki Allah SWT dengan komitmen ditunjukkan pengurusan, barisan pemain dan penyokong yang menjadi tunjang kemenangan.


Jurulatih MBSA FC, Ahmad Faisal Yunos ketika ditemui media di Stadium MBSJ pada 20 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Ini kali pertama dalam sejarah kelab MBSA meraih trofi ini. Persefahaman dan strategi taktikal yang saya terapkan kepada pasukan dipatuhi pemain merupakan resipi kejayaan kita,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Tambahnya selepas berjaya meraih kejuaraan liga super tumpuan kini terarah persiapan rapi untuk beraksi di pentas Selangor Champions League (SCL) setelah layak secara automatik selaku status juara Liga Super FAS.

Sementara itu pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) M Kalairasan menyifatkan kemenangan itu kejayaan berganda dan terbaik dalam kerjayanya sebagai pemain setelah membantu pasukan bergelar juara.

“Saya gembira meraih anugerah ini dan ia pengalaman hebat tetapi ini adalah kejayaan pasukan, rakan banyak membantu saya.


M Kalairasan dari MBSA FC dipilih pemenang Pemain Paling Bernilai (MPV) dalam Liga Super FAS 2023 di Stadium MBSJ pada 20 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Detik hebat dalam kerjaya saya. Terima kasih juga buat jurulatih dan pengurusan atas kepercayaan kepada saya serta keluarga yang banyak menyokong kerjaya saya,” katanya.

Kalairasan memaklumkan kejayaan menjadi juara Liga Super FAS menyuntik motivasinya dan rakan sepasukan untuk berusaha meningkatkan prestasi kerana cabaran lebih besar selepas ini beraksi di pentas SCL.

MBSA menjulang trofi Liga Super FAS 2023 semalam selepas berjaya menewaskan Boss FC 1-0 hasil jaringan penyerang Mahadi Asharif.


Pengarang :