Laluan keluar masuk ke Persimpangan Elmina dari kedua-dua arah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) yang ditutup semalam dibuka semula kepada pengguna sejak 3.40 petang 18 Ogos 2023. Foto Twitter Prolintas GCE
AGENDANASIONAL

Persimpangan Elmina kedua-dua arah Lebuhraya GCE dibuka 3.40 petang

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Laluan keluar dan masuk ke Persimpangan Elmina dari kedua-dua arah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) yang ditutup berikutan nahas pesawat semalam, telah dibuka semula kepada pengguna lebuh raya sejak 3.40 petang tadi.

Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan laluan dibuka semula itu melibatkan laluan masuk dari Shah Alam ke Elmina barat, dan laluan masuk ke Elmina timur dari Rawang, termasuk susur keluar ke Shah Alam.

“Satu daripada dua lorong jalan dari Elmina barat ke Rawang masih ditutup untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan di tempat kejadian. Namun begitu, pengguna masih boleh mengakses lebuh raya tersebut.

“Pasukan Operasi GCE telah ke lokasi kejadian untuk menilai kerosakan dan kini sedang menjalankan pembaikan segera jalan,” menurut kenyataan itu.

Prolintas memaklumkan pembersihan jalan telah dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sebuah pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang terhempas kira-kira 2.50 petang semalam, mengorbankan 10 nyawa yang melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :