Stesen pengawasan sungai (RMS) akan bagi memberi amaran awal potensi pencemaran dalam proses pembinaan berdasarkan gambar pada 16 Ogos 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembinaan dua stesen awasi pencemaran sungai siap Januari depan

SHAH ALAM, 18 OGOS: Dua lagi stesen pengawasan sungai (RMS) sedang dibangun di Selangor yang berfungsi memberi amaran awal potensi pencemaran.

Pembangunan RMS Sungai Guntong dan Kambing Susu oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dijangka siap Januari depan.

Luas memaklumkan selepas selesai pembangunan, stesen terbabit akan melalui proses pengujian dan pentauliahan sebelum dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Sebelum ini kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan tiga RMS termasuk di Sungai Garing yang kini dalam fasa konfigurasi jaringan ke server (pelayan) Air Selangor.

“Stesen ini akan berfungsi sebagai infrastruktur cerapan data kualiti air dengan kedudukannya berada di hulu muka sauk loji rawatan air,” katanya dalam kenyataan kepada Selangorkini.

Agensi pengurusan sumber air negeri itu turut memberitahu sembilan stesen telemetri kualiti air sudah beroperasi setakat ini, sementara enam lagi dalam proses penyelenggaraan.

“Data yang dicerap oleh stesen-stesen ini dikongsikan ke dalam Sistem Maklumat Sumber Air Bersepadu (IWRIMS) Luas,” katanya.


Pengarang :