Orang ramai beratur bagi membuang undi di Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak, Paya Jaras, Shah Alam pada 12 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pusat pengundian PRN Selangor, lima negeri dibuka 8 pagi

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sebanyak 3,190 pusat pengundian mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dibuka bermula 8 pagi ini.

Turut dibuka ialah 41 pusat mengundi membabitkan 217 tempat mengundi atau saluran sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.

Kesemua pusat mengundi bagi PRN enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu dijadual ditutup pada 6 petang.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) digunakan untuk PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan mengandungi 9,773,571 pemilih terdiri daripada 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 tentera serta pasangan, 47,728 polis dan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal PRN berlangsung pada Selasa (8 Ogos) menyaksikan 72,554 anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi di Kedah adalah 96.02 peratus, Terengganu (95.91), Selangor (95.87), Pulau Pinang (95.01), Negeri Sembilan (94.05) dan Kelantan (93.90).

Sementara PRK Parlimen Kuala Terengganu melibatkan seramai 123,575 pemilih terdiri daripada 122,160 pengundi biasa, 35 tentera serta pasangan, 1,362 polis dan 18 pengundi tidak hadir luar negara.

Seramai 1,286 pengundi atau 95.47 peratus anggota tentera dan polis serta pasangan telah mengundi awal pada Selasa.

PRN itu melibatkan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Terengganu (32) dan 45 DUN di Kelantan.

PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.

– BERNAMA


Pengarang :