Masjid ‘Umayyah di Damsyik, kota tempat tinggal Imam al-Nawawi sepanjang kariernya. Foto laman web Imam Ghazali Institute
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bercinta dengan ilmu sejak muda, Imam Nawawi teraju bidang fikah

Imam Nawawi, atau nama sebenarnya Yahya bin Sharaf al-Nawawi, lahir di Nawa, di barat laut Damsyik, Syria pada bulan Muharram 631 Hijrah (1233 Masihi). Gelar al-Nawawi sempena daerah kelahirannya itu, tidak jauh dari sempadan Jordan dan Palestin.

Sarjana ulung mazhab fikah Syafie dan aliran akidah Asya’irah adalah anak kepada seorang peniaga yang mendekati al-Quran sejak tujuh tahun dan tidak berminat bermain dengan kanak-kanak sebaya dengannya. Beliau khatam kitab suci sejak sebelum baligh dan melazimi ulama pada zamannya.

Ketika berusia 19 tahun, Imam Nawawi kemudian menghafal kitab Fiqh al-Tanbih, karangan Abu Ishaq al-Shirazi (1003-1083) di Madrasah al-Rahawiyyah, Damsyik dalam tempoh empat bulan setengah dan satu perempat al-Muhazzab pada baki tahun tersebut.

Beliau asyik dengan ilmu, sentiasa menelaah dan menulis. Setiap hari beliau mempelajari 12 subjek pelbagai ilmu kitab-kitab muktabar karangan Imam al-Ghazali (fikah), al-Bukhari dan Muslim (hadis) serta al-Shirazi (usul fiqh).

Makam Imam Nawawi dimusnahkan pengganas ketika perang di Syria pada Januari 2015

Imam Nawawi menjadi pakar rujuk fikah Syafie (767-820), selain mempelajari mazhab akidah Abu Hasan Asy’ari (873-936). Selain al-Shirazi, tokoh lain yang mempengaruhinya termasuklah Imam al-Ghazali (1058-1111) dan Ibn Asakir (1106- 1176).

Beliau bertalaqi dengan ulama muktabar mazhab Syafie, justeru tidak hairan pengaruh mereka telah membentuk keilmuan dan ketokohannya sehingga ke hari ini.

Guru-gurunya termasuklah Ishaq bin Ahmad al-Maqdisi, Abu Hasan Sallar al-Dimashqi, Abu Muhammad Abd al-Rahman al-Dimashqi dan Jamaluddin Abdul Kafi al-Dimashqi.

Karya Imam Nawawi lebih popular dalam bidang fikah, antaranya Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, Rawdah al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin dan al-Majmu’. Kitab utamanya dalam bidang hadis termasuklah al-Arba’in al-Nawawiyah (Hadis 40), kitab al-Minhaj dan Riyadus Salihin Min Kalam Sayyid al-Mursalin.

Ulama ulung Syria ini melahirkan ramai murid berkaliber, antaranya, Alauddin Ibn al-Attar Abu Abbas Ahmad Ibrahim, Abu Abbas Ahmad al-Ishbili, Ismail Uthman al-Hanafi, Abu Abdillah Muhammad al-Hanbali.

Hayat beliau tidak panjang, meninggal dunia pada usia 45 tahun, pada 1277. Sibuk menyumbang ilmu dalam 16 tahun, Imam Nawawi tidak berkahwin. Selain ilmu, ulama ini juga tegas menegur pemimpin kerajaan yang dianggap silap.

Makamnya di kampung halamannya dimusnahkan pengganas ketika perang di Syria pada Januari 2015.


Pengarang :