Elavarasan (tengah) bersama barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya B-23 ketika sesi pengumuman di Wisma FAM, Petaling Jaya pada 1 September 2022. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
AGENDASUKANKINI

Elavarasan lepas jawatan skuad B-23, kembali bantu Pan Gon

SHAH ALAM, 18 SEPT: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) E Elavarasan melepaskan jawatannya bagi menumpukan semula tugas sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan perkara itu diputuskan dalam pertemuan Elavarasan bersama Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23.

“Hamidin dan Elavarasan mencapai kata sepakat agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawab sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan Gon dalam skuad senior

“Ia sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan,” kata Setiausaha Agungnya Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan hari ini.

FAM turut berterima kasih atas sumbangan Elavarasan berikutan kejayaannya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand dalam aksi terakhir pada 12 September.

Dalam pada itu, beliau berkata ketua jurulatih baharu bagi menghadapi Piala Asia tahun depan akan diumum kemudian selepas perbincangan bersama pihak berkaitan.

Elavarasan mula mengemudi pasukan B-23 menggantikan Brad Maloney pada 1 September tahun lalu dan pada masa sama masih membantu Pan Gon dalam skuad senior negara.

Sepanjang tempoh itu, skuad Harimau Malaya B-23 berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura, layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 dan mara ke Piala Asia B-23 2024.


Pengarang :