Sekitar Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

8,272 syarikat ada sijil halal, lebih 3,000 milik Bumiputera

SHAH ALAM, 18 SEPT: Sebanyak 8,272 syarikat miliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dengan 7,306 daripadanya merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata daripada jumlah berkenaan, 39.53 peratus iaitu 3,270 syarikat adalah Bumiputera.

“Pendaftaran pemohon SPHM adalah berdasarkan maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Data yang boleh diperoleh hanya membabitkan status pemilikan Bumiputera, bukan Bumiputera atau pemilikan warga asing dan kategori industri sama ada mikro, kecil, kecil sederhana dan multinasional.

“Tiada maklumat kategori gender (jantina) yang didaftarkan,” katanya ketika menggulung perbahasan di Parlimen hari ini.

Hujung tahun lalu, mantan EXCO Industri Halal Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan Selangor merekodkan lebih 5,000 pemegang sijil halal dengan 70 peratus pemegang merupakan bukan Islam.

Sejak beberapa tahun ini, Kerajaan Negeri turut giat mempromosi industri halal malah menerima Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal pada Julai.

Pengiktirafan sempena Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2022 (WHEA 2022) susulan pelaksanaan cemerlang dalam mempromosikan industri itu.


Pengarang :