Lebih 11,000 orang meriahkan Jelajah Fit Malaysia peringkat negeri Johor di Aeon Mall Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru pada 23 September 2023. Foto Facebook JBSNegara
AGENDASUKANKINI

Jelajah Fit Malaysia labuh tirai, rekod kehadiran 100,000 peserta

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Jelajah Fit Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melabuhkan tirainya hari ini dengan merekodkan seramai 100,000 peserta menyertai program itu sejak ia dimulakan Ogos lepas.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang cukup menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat di kesemua negeri.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim (tengah) meluangkan masa beramah mesra bersama para peserta skating dari Indonesia pada pertandingan Melaka Open Speed Skating Challenge 2022 di Stadium Tun Fatimah dekat Semabok, 17 Disember 2022. Foto BERNAMA

“Kami berpuas hati dengan kehadiran di semua negeri dan berharap momentum ini dapat diteruskan pada Hari Sukan Negeri yang akan disambut bulan hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Fit Malaysia Peringkat Kuala Lumpur 2023 di Dataran Merdeka hari ini.

Kuala Lumpur merupakan lokasi terakhir bagi Jelajah Fit Malaysia 2023 selepas jelajah itu membuka tirai di Pulau Pinang pada Ogos lepas.

Jelajah Fit Malaysia adalah platform pembudayaan sukan bagi semua lapisan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada Hari Sukan Negara yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Okt seluruh negara dengan sambutan peringkat kebangsaan bakal diadakan 14 Okt ini di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :