Beberapa buah lori Jabatan Imigresen Malaysia membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya dilihat meninggalkan Depot Tahanan Sementara Relau Bandar Baharu dipercayai untuk dipindahkan ke depot tahanan lain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

12 lelaki warga asing ditahan dalam bas ekspres, tiada dokumen sah

KOTA BHARU, 24 SEPT: Polis menahan lapan lelaki warganegara India dan empat lelaki warga Bangladesh di dalam sebuah bas ekspres di tepi jalan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata ketika menjalankan Op Cantas kira-kira 1 pagi, pihaknya telah menahan sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu.

“Hasil pemeriksaan terhadap semua penumpang di dalam bas terbabit mendapati lapan lelaki warganegara India dan empat lelaki warganegara Bangladesh gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Gua Musang untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kejayaan tangkapan warga asing dalam operasi yang dijalankan adalah hasil daripada kerjasama antara pihak imigresen dan polis dalam mengekang pergerakan warga asing yang tiada dokumen di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :