AGENDAJENAYAH

Sami warga asing diburu polis, bantu siasatan kes serangan seksual

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Polis memburu lelaki warga asing dipercayai melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita tempatan dalam kejadian pada awal 2017.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Supt Izuddin Ab Wahab berkata suspek berusia lingkungan 40-an itu merupakan seorang sami yang berasal dari India.

“Polis mengesahkan menerima satu laporan Ogos tahun ini mengenai kejadian seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an diserang secara seksual oleh suspek.

“Kejadian dilaporkan berlaku di dalam kenderaan mangsa di sekitar Puchong, Selangor. Mangsa ketika itu baru mengenali suspek ketika upacara keagamaan,” katanya.

Beliau berkata mangsa baru melaporkan kejadian itu bulan lalu disebabkan faktor trauma.

“Buat masa ini polis selesai merakam percakapan mangsa dan sedang mengesan saksi lain untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :