Perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 12 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Fokus pelaburan, pembuatan, perkhidmatan untuk capai negara berpendapatan tinggi

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan perlu fokus kepada sektor pelaburan bagi memastikan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi tercapai.

Ahli parlimen Kuala Selangor berkata ia melibatkan golongan pelabur dari dalam dan luar, selain turut mengutamakan sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Kita mesti menggamit pelaburan sama ada yang datang dari luar dan domestik supaya mereka tidak keluar (melabur). Saya jumpa, mereka kata nak labur ke luar sebab kita tak ada struktur insentif.

“Kita alami industri pramatang menyebab kita tak boleh pacu industri pembuatan, pengeluaran produk dan servis yang bersifat nilai tinggi.

“Ini kegagalan kita yang berulang-ulang kali. Kali ini kita tak lagi wajar gagal dan ini jadi tanggungjawab menteri kewangan, ekonomi serta MITI (pelaburan, perdagangan dan industri),” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam perdana menteri membentangkan kajian separuh penggal RMK12 bertemakan ‘Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’ merangkumi tiga tumpuan utama iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera, dan menuju negara berpendapatan tinggi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan dengan 17 anjakan serta 71 inisiatif utama itu melibatkan belanja RM400 bilion serta tambahan siling RM15 bilion bagi menampung keperluan asas rakyat.


Pengarang :