Sebahagian kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tangani isu bantut, 2,800 kanak-kanak terima bantuan makanan berkhasiat

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 3 MEI: Seramai 2,800 kanak-kanak dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah menerima bantuan makanan berkhasiat melibatkan peruntukan berjumlah RM500,000 pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif menerusi Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) itu meliputi pemberian susu tepung penuh krim, biskut, bijirin dan multivitamin.

“Tahun lepas, bantuan ini dimulakan meliputi susu tepung penuh krim, biskut, bijirin dan multivitamin bagi penyerapan kalsium dan menguatkan tulang. Khasiat ini penting kerana mampu membantu mengatasi masalah bantut dan kekurangan berat badan kelompok sasaran.

“Tahun ini, penerima manfaat termasuk ibu bapa dan penjaga akan diberi pendedahan kepada penyediaan makanan berkhasiat oleh pakar pemakanan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Beliau berkata bagi menambah baik program tersebut, sebanyak 56 pusat ASAS akan ditubuhkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan kejayaaan dalam jangka masa panjang.

Pada Julai tahun lepas, Amirudin memaklumkan bantuan nutrisi makanan selama 10 bulan menerusi program ASAS bagi mengelak isu tumbesaran terbantut dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak  keluarga berpendapatan rendah.

Bantuan nutrisi kepada kanak-kanak antara pelbagai program yang disediakan untuk rakyat Selangor di bawah kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).


Pengarang :