Peserta Program Perkhemahan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMARA) bergambar selepas program khidmat masyarakat di Balai Raya Kampung Kuala, Hulu Langat pada 14 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mahasiswa sertai program anti rasuah, bentuk jati diri pemimpin masa depan

HULU LANGAT, 14 OKT: Seramai 30 pemimpin mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai program anti rasuah dan khidmat masyarakat di Impian Rimba Resort, Pangsun, di sini hari ini.

Program Perkhemahan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMARA) itu dianjurkan bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketua pegawai eksekutif PNSB berkata program yang buat pertama kali dianjurkan pihaknya dengan pelbagai agensi bertujuan melahirkan generasi yang berintegriti tinggi serta mempunyai jati diri untuk menjadi pemimpin masa depan negara.

“Seramai 30 mahasiswa berkumpul sejak Jumaat hingga esok. Mereka menyertai program sebar mesej anti rasuah selain pelbagai pengisian lain lagi,” kata Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim ditemui pada Program AMARA di Impian Rimba Resort, Pangsun, di sini hari ini.

Penuntut Institut Jerman-Malaysia (GMI) Nurul Hikma Idrus. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Presiden AMAR dari German Malaysian Institute (GMI) Nurul Hikma Idrus, 20, berkata beliau merancang untuk menganjurkan seminar dan kursus untuk sebar mesej anti rasuah melibatkan lebih 90 ahli AMAR di GMI.

“Banyak manfaat saya peroleh dari program yang membentuk sifat kepimpinan diri jadi saya mahu kongsikan apa yang saya belajar di sini kepada mahasiswa lain,” katanya.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Muhammad Alif Danieal Mohd Rafi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi Presiden AMAR dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  Muhammad Alif Danieal Mohd Rafi, 20, beliau akan menggunakan platform media sosial untuk menyebar kesan buruk rasuah kepada negara.

“Media sosial merupakan platfrorm berkesan untuk melaksanakan kempen anti rasuah dalam kalangan mahasiswa. Golongan mahasiswa perlu sahut seruan ini demi membina sebuah negara yang mana rakyatnya mempunyai jati diri dan integiriti yang bagus,” katanya.

Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Dato’ Alias Salim memberi sijil penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim ketika program Perkhemahan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Selangor 2023 di Balai Raya Kampung Kuala Pangsun, Hulu Langat pada 14 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :