Sebahagian aksi skuad wanita negara pada pertemuan ketiga pusingan round robin, Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2023 Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf, India pada 30 Oktober 2023. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Malaysia ikat Korea Selatan 1-1 pada aksi ketiga Trofi Juara-Juara Asia di India

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Skuad Malaysian Tigress bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Korea Selatan 1-1 dalam perlawanan ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita Ranchi 2023 di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf, India, hari ini.

Nur Afiqah Syahzani Azhar menjaringkan gol penyamaan buat skuad negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-58, selepas Seo Suyoung meletakkan Korea Selatan di hadapan pada minit ke-35 juga dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Pengendali pasukan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata beliau berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan pemain namun mengakui perancangan lebih rapi perlu diatur sebelum bertemu juara Sukan Asia, China, esok.

“Alhamdullilah kita dapat mata pertama daripada ACT, ia hasil kerjasama jurulatih dan pemain. Strategi yang digunakan menjadi hari ini apabila kita tukar beberapa struktur perlawanan terutamanya di bahagian pertahanan yang menyukarkan Korea Selatan menambah jaringan,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media.

Skuad negara memulakan kempen ACT Jumaat lepas dengan langkah kiri apabila tewas kepada Jepun 0-3 dan India 0-5 dalam perlawanan kedua pada Sabtu.

Malaysia akan melengkapkan round robin dengan menentang Thailand, Khamis ini sebelum empat pasukan teratas melayakkan diri ke separuh akhir.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada ACT Wanita adalah pada edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun, apabila menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan China 3-1.

– BERNAMA


Pengarang :