Aksi jaguh badminton para negara, Mohd Amin Burhanuddin dalam acara akhir perseorangan lelaki SL4 menentang pemain India, Suhas Lalinakere Yathiraj pada temasya Sukan Para Asia Hangzou 2022 di Stadium Binjiang pada 27 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Para Asia: Badminton hadiah pingat ke-35, sasaran negara tercapai

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

HANGZHOU, 27 OKT: Pemain para badminton lelaki negara Mohd Amin Burhanuddin memastikan sasaran 35 pingat pada Sukan Para Asia (APG) 2022 tercapai selepas menghadiahkan pingat perak menerusi acara perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal), hari ini.

Pada aksi penentuan pingat emas di Gimnasium Binjiang di sini, atlet kelahiran Labuan, Sabah berusia 30 tahun itu yang membuat penampilan sulungnya di APG terpaksa berpuas hati meraih perak selepas tewas di tangan wakil India, Suhas Lalinakere Yathiraj dalam pertarungan tiga set.

Mohd Amin bermula dengan langkah kanan di set pertama apabila melakar kemenangan 21-13 ke atas pemain ranking keenam dunia itu.

Bagaimanapun, wakil India itu kemudian bangkit menyamakan kedudukan menewaskan Mohd Amin yang menghuni ranking ke-19 dunia, 18-21 di set kedua sebelum menoktahkan kemenangannya di set penentuan 21-9.

“Masa set pertama saya ada keyakinan sedikit tapi bila dah tukar gelanggang dan bulu tangkis saya dapat rasakan ia berkurangan. Banyak bola yang saya pukul selepas itu tak menjadi.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur atas kejayaan perak ini serta berjaya melengkapkan sasaran 35 pingat kontinjen negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2022 KM Rajendran menyifatkan dengan sasaran 35 pingat sudah dicapai, pihaknya akan meneruskan misi menambah kutipan pingat sebelum acara penutup temasya berlangsung esok.

– BERNAMA


Pengarang :