Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang Asli terima hak sama rata, negeri tidak pernah sisih

SHAH ALAM, 19 NOV: Komuniti Orang Asli tidak pernah disisihkan sebaliknya turut mendapat pembelaan sama rata dengan kaum lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Belanjawan Selangor 2024 yang dibentang minggu lalu menjadi bukti pentadbiran negeri sentiasa menjaga kebajikan kaum minoriti berkenaan.

“Kita tetapkan peruntukan khas. Antaranya RM1 juta untuk warta kawasan perumahan Orang Asli. Kita juga siapkan RM1 juta tambahan untuk baiki rumah mereka supaya dapat kehidupan selesa.

“Untuk kebajikan, kita sediakan RM500,000 untuk program bakul makanan memandangkan sekarang berdepan peningkatan harga barang.

“Kita sedar ini antara tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menaik taraf kehidupan mereka,” katanya berucap ketika merasmikan pertandingan akhir Asli Battle of The Bands, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bergambar bersama pemenang pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata setiap tahun pentadbiran memperuntuk sejumlah wang bagi meneruskan biasiswa Sagong Tasi khas untuk anak penduduk kaum asal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Bukan hanya untuk peringkat universiti tetapi juga kepada pelajar sekolah menengah supaya dapat menjaga pendidikan mereka,” katanya.

Menerusi rancangan belanja tahun depan, Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.5 juta kepada Orang Asli dan jumlah itu tertinggi dalam sejarah.


Pengarang :