Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad (dua, kanan) menyampaikan sumbangan hamper Deepavali dan wang tunai RM100 kepada penerima pada program Sumbangan Prihatin Deepavali di Taman Sri Muda pada 8 November 2023. FOTO NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Penerima sumbangan MBSA bersyukur, bantu persiapan Deepavali 

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 8 NOV: Penerima sumbangan prihatin Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Deepavali bersyukur menerima bantuan sekali gus meringankan beban menyambut perayaan.

Yasoda Devasagayam. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Penerima Yasoda Devasagayam, 48, yang juga orang kurang upaya berkata sumbangan itu digunakan sebaik mungkin memandangkan beliau bergantung harap kepada pendapatan anak-anak yang juga mempunyai keluarga masing-masing.

“Saya tidak boleh bekerja kerana tragedi kemalangan waktu kecil dulu telah mengehadkan pergerakan sampai sekarang.

“Persiapan Deepavali tahun ini sama seperti setiap tahun, kami sambut dengan sederhana sahaja,” katanya.

Yasoda adalah seorang daripada 50 penerima sumbangan prihatin bagi Zon 9, Taman Sri Muda, di sini yang disampaikan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad.

Velayee Periasamy. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Bagi warga emas, Velayee Periasamy, 69, berkata sumbangan itu besar ertinya kepada golongan berpendatan rendah untuk membuat persiapan raya.

“Saya tinggal bersama anak-anak yang semuanya sudah berkahwin. Saya juga menjaga tiga orang cucu yang sudah kehilangan ibu mereka.

“Sumbangan ini digunakan bagi persiapan Deepavali, sudah tentu ia meringankan bebanan kami sekeluarga,” katanya lagi.

Seorang pekerja kilang Krishnaveni Pathmanathan, 30, berkata keperluan menyambut kelahiran anak pertamanya pasti memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Krishnaveni Pathmanathan. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Suami bekerja sebagai penghantar barang dan pendapatannya tidak menentu. Begitu juga dengan saya namun ia bukanlah pematah semangat untuk bekerja demi kelangsungan hidup.

“Sumbangan MBSA ini adalah bantuan kali pertama saya terima. Ia meringankan beban kami dalam persiapan perayaan dan juga menyambut kedatangan orang baharu dalam keluarga,” katanya.


Pengarang :