AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buku riwayat Rasulullah terlaris, Perempuan Seribu Satu Malam curi hati pembaca

SHAH ALAM, 9 DIS: Naskhah riwayat Rasulullah terus mengungguli carta buku terlaris di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sepanjang lapan hari penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.

Buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal tulisan asal Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin yang meraih anugerah pada peringkat antarabangsa dan diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dianggap biografi terbaik Rasulullah SAW.

Karya berjudul Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang terjemahan daripada teks Arab bertajuk ‘Abqariah Umar pula buku kedua popular selama tujuh hari sejak acara berkenaan berlangsung pada 1 Disember.

Karangan cendekiawan Mesir Abbas Mahmud al-‘Aqqad yang diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor memuatkan banyak kisah menarik termasuk sisi peribadi sahabat nabi yang boleh diteladani pembaca.

Terjemahan buku judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE)

Selain itu, buku baharu Perempuan Seribu Satu Malam berjaya mencuri hati pembaca apabila turut tersenarai antara lima buku terlaris.

Setebal 252 halaman, buku berkenaan memuatkan empat kisah terkenal daripada Hikayat Seribu Satu Malam iaitu Aladin dan Pelita Ajaib; Judar dan Abang-abangnya; Abukir dan Abusir dan Tukang Emas Berahi.

Orang ramai boleh mendapatkan buku terjemahan penting dan bermutu di reruai IBDE bernombor P36 dan H17 di dewan utama aras 1, Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Suasana sekitar reurai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 4 Disember 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

SIBF 2023 anjuran PPAS berlangsung sehingga 10 Disember dari 9 pagi hingga 9 malam dengan pelbagai acara menarik menanti pengunjung.

Julung kali diadakan tahun lalu, pesta tersebut merupakan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.


Pengarang :