Polis menemukan jenazah Zayn Rayyan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pakaian Zayn Rayyan dianalisis di Jabatan Kimia, polis giat cari petunjuk baharu

PETALING JAYA, 9 DIS: Pakaian yang dipakai oleh kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, ketika mayatnya ditemukan di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai di sini telah diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengumpul maklumat dan mencari petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semasa sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Aidilfitri Peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 20 April 2023. Foto BERNAMA

“Maklumat yang diperoleh polis pada masa ini sangat terhad dan kami sedang bekerja keras mengumpul maklumat yang boleh membantu siasatan selain menunggu keputusan analisis forensik daripada Jabatan Kimia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hussein berkata sehingga kini polis sudah merakam keterangan 20 individu termasuk ibu bapa mangsa dan lelaki yang menjumpai mayat Zayn Rayyan,pada Rabu lepas.

Selain itu, katanya polis juga mengambil maklumat dari rumah ke rumah di tiga daripada 18 blok kediaman yang ada di kawasan perumahan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata polis tidak dapat mendedahkan hasil keseluruhan laporan hasil bedah siasat Zayn Rayyan, 6, kepada umum kerana ia mungkin mengganggu siasatan.

Beliau berkata polis perlu menjaga kerahsiaan setiap maklumat yang diperoleh supaya satu siasatan yang telus dapat disiapkan.

“Namun apabila polis memperoleh maklumat yang boleh dikongsikan, sudah pasti Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan) akan maklumkannya,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Polis menemukan jenazah Zayn Rayyan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA

Sebelum ini tular tangkap layar yang dimuat naik di laman TikTok memaparkan mengenai keadaan mayat Zayn Rayyan ketika ditemukan kumpulan penduduk yang membantu operasi mencarinya.

Kanak-kanak malang berkenaan yang dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokannya, iaitu kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

– BERNAMA


Pengarang :