Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2023 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Sultan Selangor seru amal politik harmoni, suburkan perpaduan rakyat

Oleh FATHI ARIS OMAR

Bertakhta melangkaui pertikaian politik parti, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sangat-sangat mengutamakan perpaduan dan keharmonian kehidupan rakyat jelata. Baginda bersungguh-sungguh menolak politik perkauman dan memperalat agama.

Berulang kali Sultan Selangor menyampaikan titah pesanan agar pemimpin politik mengelak daripada politik pecah-belah. Sepanjang tahun ini, dalam semua majlis utama, Baginda tidak pernah jemu mengingatkan ahli politik.

Ketika bertitah di istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Mac, ketika istiadat pembubaran dewan (Jun), ketika istiadat pelantikan barisan tertinggi pemimpin negeri (Ogos), mesej Baginda sangatlah jelas.

Tuanku Sultan bertitah pemimpin politik jangan “memainkan isu-isu berkaitan agama dan membangkitkan isu-isu perkauman serta juga isu-isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan”.

Ketika persaingan politik kepartian semakin tajam sejak beberapa tahun mutakhir, titah Baginda itu ibarat mutiara kebijaksanaan yang mengingatkan mereka yang alpa dan mengajar mereka yang belum tahu.

Menjelang pilihan raya umum 2022, Sultan Sharafuddin bertitah pemimpin khianat, menipu dan menyalah guna kuasa untuk mengumpul kekayaan diri pasti dibenci rakyat kerana boleh menjahanamkan negara.

“Rosaknya pemimpin, maka rosaklah negara ibarat kata pujangga ‘jika keruh air di hulu, maka keruhlah ia di hilir’,” titah Baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office sebulan sebelum hari mengundi 19 November.

Ketika bertitah pada pembukaan sidang terakhir DNS penggal ke-14, Baginda menzahirkan rasa kurang senang pada pemimpin yang menggunakan rumah ibadat untuk politik parti hingga mencetuskan sengketa.

“Beta amat bimbang budaya sebegini, jika tidak dibendung, akan terus memecah-belahkan umat Islam khususnya orang Melayu,” titah Baginda di depan semua 56 wakil rakyat pada 13 Mac lalu.

“Menjelang pilihan raya negeri di Selangor pada tahun ini, Beta ingin mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor secara berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang politik tidak menjadikan masjid dan surau sebagai pentas untuk berceramah dan berkempen.”

Sehari sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 20 Jun, Baginda masih menekankan politik yang harmoni dan menyuburkan perpaduan. Pada istiadat pembubaran DNS di Istana Alam Shah, Baginda bertitah:

“Beta juga menegaskan agar calon-calon dan penyokong mereka tidak memainkan isu-isu yang berkaitan dengan agama dan membangkitkan isu-isu perkauman serta isu-isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat.”

Namun masih ada pemimpin yang terus memainkan semangat kebencian antara kaum walau selepas berakhir pilihan raya di enam negeri termasuk Selangor pada 12 Ogos.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Rapatkan jurang

Sehingga Baginda sebagai pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengeluarkan kenyataan khas pada 12 September, dua hari selepas dua pilihan raya kecil di Johor.

“Negara akan mundur dalam segala aspek kehidupan sekiranya pemimpin politik cenderung kepada memupuk polarisasi kaum dan mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama.

“Rakyat yang terpengaruh dengan hasutan sesetengah pemimpin yang mempromosikan politik perkauman dan keagamaan akan berpotensi mencetuskan perasaan curiga, perbalahan, perselisihan dan perpecahan,” titah Baginda.

“Polarisasi yang melampau akan membawa kepada implikasi melahirkan unsur radikalisme dan ekstremisme di dalam masyarakat sehingga boleh mengancam keselamatan negara.”

Baginda malah menyarankan batas pemisah dan perbezaan antara kaum dan agama diatasi dengan mengadakan pelbagai program bagi merapatkan jurang demi mengelakkan prasangka buruk yang sedia ada.

Sultan Sharafuddin menjelaskan bibit-bibit perpecahan yang “semakin ketara” mendorong segolongan rakyat memohon kepada Raja-Raja Melayu agar campur tangan bagi memayungi keamanan dan kedamaian hidup rakyat.

Kenyataan Baginda ini sebenarnya penegasan lebih kuat daripada titah yang disampaikan pada Istiadat Pelantikan Dato’ Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Ogos.

“Beta perhatikan, politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit. Cukuplah apa yang telah berlaku.

“Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titah Baginda dari atas singgahsana Istana Alam Shah, Klang.

“Kini pilihan raya telah pun selesai maka marilah kita bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.
“Kita perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan negeri Selangor khususnya.”

Jelas sekali betapa prihatinnya Sultan Selangor terhadap keharmonian dan perpaduan. Dalam tempoh enam bulan tahun ini sahaja, Baginda terus tekal memayungi kesejahteraan rakyat jelata.


Pengarang :