BUDAYARENCANA

Tangan yang memberi juga menikam

Oleh Lokman Hakim

Dikerling tangan kiri yang luka parah. Ingin diubat tetapi tangan itu sudah cukup berdosa. Namun, dia menyedari kecederaan itu akan membarah lantas menjadi racun. Nyawanya akan melayang. Bagaimana? Dia buntu. Jika diubat tangan itu, pastilah ia akan terus-menerus menulis perihal keagungan negara haram di Asia Tengah itu. Pastilah ia akan berdecit-decit menaip hantaran demi hantaran di media sosial meranapkan keadilan buat warga Palestin. Kerana itu, dia terus merodok tangan kiri itu biar lumpuh. Sekurang-kurangnya hingga perang berakhir.

Perang itu kelihatannya tidak akan berakhir mudah. Sejak bila perang itu bermula? 7 Oktober hanya salah satu pemula daripada konflik yang sudah berlarutan 75 tahun lamanya. Jadi adakah dia harus memotong tangan itu untuk meneruskan kehidupan? Pincangkah hidupnya nanti?

‘Oi, oi sudah-sudahlah tu menyeksa diri. Merosakkan tubuh sendiri itu bukankah perbuatan terlarang dalam agama?’ satu suara terbit dari dalam diri. Dia kenal suara itu.

‘Ini bukan tubuhku. Ini tali-barut musuh yang ditanam dalam tanganku. Aku tidak dapat menyingkirkannya dengan pisau ini. Kekerasan itu pula memudaratkanku.’

‘Itulah maksudku! Berhenti dan carilah jalan lain. Tangan kiri itu kauboleh lorongkan ke jalan sepatutnya. Jalan yang Allah redhai. Tapi kau kena kemudi ia bukan menyerahkannya pada nasib.’

Suara itu memang dia kenal lama tapi hakikatnya dia tidak begitu tahu asal-usulnya. Adakalanya ia menyuarakan sesuatu yang masuk akal, tetapi kebanyakan waktunya suara itu memberikan idea yang di luar norma pemikiran manusia normal – mengenepikan akidah dan sesekali menjungkir-balikkan perbatasan dan nilai-nilai masyarakat. Semakin dia menyakini ia Iblis. Tetapi apabila nasihat yang diberikan kedengaran masuk akal – ia melorongkan dia untuk memikir kesan dan akibat tindakan itu. Iblis tidak akan memikirkan cara untuk menyelamat manusia – ia hanya mahu hidup manusia porak-peranda.

‘Diam. Usah mengajarku perkara yang aku tahu!’

Kesakitan menyengat. Dia pasti, selagi kesakitan masih bersisa, tangan kiri itu masih miliknya. Maka, haruskah dia memotong tangan itu, lalu mengenakan tangan baharu? Yang robotik, misalnya. Selaku saintis pakar robotik, itu memang kepakarannya. Tetapi dia tidak punya sumber melaksana teknologi itu. Dana untuk kajian acapkali dicantas kerajaan. Soalnya kini- adakah teknologi itu juga diimport dari negara haram itu? Atau jika tidakpun, mungkinkah pemilik teknologi itu ada tangan-tangan ghaib yang menyalurkan keuntungannya ke negara haram tersebut?

“Nah, tangan kau itu tidak dapat diselamatkan. Kau boleh kerat tangan itu dan gantikan ia dengan tangan robot. Dan kau akan dapati dunia ini sedang memerah keringatnya untuk negara yang kaulabelkan haram itu. Mampukah kau menentang bagaimana dunia ini bekerja?”

Ketukan keras menyusul di muka pintu besi. Tidaklah dia dapat bangun daripada persandaran. Jangkitan kuman telah merebak ke seluruh tubuh, fikirnya. Ia melemahkan. Hakikat dunia yang dikawal sistemnya oleh negara haram itu, sedikit- sebanyak melemahkan pendiriannya.

Setelah lima hingga enam kali ketukan, tombol pintu dipulas. Sekumpulan petugas kesihatan bergegas masuk lalu mengerumun. Jelas, matlamat mereka ringkas. Mengubat kecederaannya. Pastilah tindakan itu ditentang. Tetapi, penentangan fizikal begitu lemah – kudratnya sudah tidak lagi berdaya apabila yang merawat itu memaksakan jua rawatan. Dia dapat merasakan tubuhnya diangkat dalam keadaan separa sedar. Ke mana dia dibawa? Dia tidak pasti. Dia hanyut dalam khayalan.

Kecederaannya begitu parah dan terlalu lama dibiarkan – lantas tindakan selanjutnya hanyalah memotong bahagian yang cedera. Gangren sedang berlaku. Nyawanya benar-benar dalam bahaya. Jangkitan kuman sudah begitu memudaratkan.

Kini tangan kirinya merupakan tangan prostetik yang begitu sofistikated – nyawanya selamat. Tiada lagi kesakitan bersisa melainkan keraguan di hatinya. Kesakitan, kerana tidak boleh memilih jenis produk tangan prostetik yang sumbernya terjaga daripada menyalurkan wang ke negara haram.

“Bagaimana keadaan kamu sekarang? Sihat?” tanya salah seorang doktor wanita yang diiringi jururawat bertugas. Melihat doktor wanita yang lengkap bertudung kemas dengan senyuman lembut sedikit-sebanyak memberi optimisme – tangan prostetik yang digunakan itu bukanlah dicipta ideologi rasisme mirip Nazi dari negara haram tersebut.

“Setakat ini baik sahaja, doktor. Cuma saya tidak berkenan dengan tangan ini. Saya boleh menulis dengan lancar dan saya harus fokus setiap kali mahu menggunakan tangan ini, barulah ia bergerak.”

“Jadi apa yang awak kurang berkenan?”

“Tangan ini, saya tidak tahu dari mana asal-usulnya. Adakah ia menyumbang kepada negara har…” dia tidak dapat menghabiskan ayatnya kerana dirasakan ia tidak sesuai dituturkan berulang kali.

“Usah risau, Encik. Kami dah siasat latar belakang Encik dan keperluan untuk menggunakan produk dari negara-negara Islam. Ya, tangan ini disahkan dibuat dan merupakan salah satu produk saintis tempatan. Kami ada sijil pengesahan jika Encik nak tengok.”

Dia terdiam seketika mendengar penjelasan doktor wanita itu. Kini dia menyedari bahawa dia tidak lagi berada di dalam biliknya yang pengap, tetapi sebuah bilik wad hospital kerajaan. Sesekali dia menggerakkan jari-jemari prostetik itu dan cuba menulis kalimah “Bismillahirrahmannirrahim.” Ia lancar sekali dan dia cukup menyenangi keadaan itu.

“Terima kasih doktor kerana ambil perhatian terhadap pendirian saya yang menolak sama sekali produk Zionis.”

Doktor wanita itu tersenyum sebelum meminta diri. Sebaik sahaja doktor wanita itu berada di koridor bersama jururawat bertugas, dia ditanyakan pula oleh jururawat tadi mengenai penjelasan yang diberikan.

“Oh itu, kena bohong sunat sekali-sekala.”

“Kenapa? Dia rasanya dah cukup matang untuk terima hakikat itu.”

Sekali lagi doktor wanita itu tersenyum. Pandangannya dilempar keluar tingkap, di mana bendera Palestin dikibar megah diiringi bendera Malaysia sebelah-menyebelah.
“Suatu hari nanti, pastinya,” ujar doktor wanita itu sebelum menuju ke katil pesakit lain yang pasti menuntut khidmatnya sesegera mungkin.

 

 

 


Pengarang :