EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bersama peserta dan ibu bapa selepas perlawanan persahabatan di antara Klinik Bola Sepak DUN Kinrara dan Fairview International School di Arena MBSJ pada 9 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor sasar tarik lebih ramai pelabur berkualiti tinggi

SUBANG JAYA, 10 DIS: Kerajaan Negeri bakal menarik lebih ramai pelabur berkualiti tinggi dalam pelbagai sektor mulai tahun depan.

EXCO pelaburan berkata langkah tersebut dapat merealisasi hasrat Selangor mewujudkan lebih banyak peluang kerja bergaji tinggi kepada anak muda.

“Seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, hala tuju untuk Selangor pulihkan ekonomi dengan cepat adalah berusaha menarik banyak pelabur berkualiti tinggi ke negeri ini.

“Justeru, dengan cara ini kita yakin peluang mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi juga pasti lebih cerah,” kata Ng Sze Han.

Beliau ditemui ketika menyaksikan perlawanan persahabatan Klinik Bola Sepak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara bersama Fairview International School di Arena MBSJ semalam.

Pengunjung melawat reruai pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sze Han menjelaskan Kerajaan Negeri juga akan meneruskan penganjuran program besar dan berimpak tinggi seperti Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan Pameran Udara Selangor (SAS).

“Kedua-dua ekspo ini mendapat perhatian sehingga ke peringkat antarabangsa, saya yakin dengan adanya ekspo ini kita dapat mempromosi nama Selangor sebagai satu destinasi pelaburan terbaik di rantau Asean,” katanya.

SIBS akan diadakan dua kali tahun depan yang dijadual pada 25 hingga 27 Julai dan 16 hingga 19 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia antara negara luar yang mengambil bahagian dalam penganjuran edisi ketujuh lalu.

Pelawat dari Mycopter Aviation Services tidak melepaskan peluang berswafoto dengan kapal terbang ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang Jaya pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Manakala SAS mula dianjur pada 2021 yang menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Sebanyak RM823 juta potensi nilai transaksi dicatat sepanjang penganjurannya pada 7 hingga 9 September lalu dengan merekodkan kehadiran 19,217 pelawat perdagangan, melebihi sasaran 12,000 orang.


Pengarang :