Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Suami isteri warga emas maut ditikam anak di Sungai Penchala

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Pasangan suami isteri warga emas ditemukan maut dipercayai ditikam anak lelaki kandung dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, di sini, malam tadi.

Menurut sumber polis, pasangan suami isteri berusia 82 dan 72 tahun itu ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Sumber berkata berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah pada sekitar jam 7 malam.

“Dalam pergaduhan itu, anak lelaki itu dikatakan mengambil senjata tajam sebelum menikam kedua ibu bapa menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah.

“Jiran yang menyedari kejadian segera menghubungi polis untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Bagaimanapun, sumber berkata, sebaik pasukan polis tiba, kedua mangsa sudah meninggal dunia dan polis berjaya menahan suspek di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain itu, pemerhatian Bernama di lokasi mendapati pasukan forensik sedang giat melakukan siasatan di lokasi kejadian dan mayat pasangan berkenaan masih berada di dalam rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata suspek berjaya ditahan di Terowong Penchala Lebuhraya Sprint pada jam 10.20 malam.

Katanya, suspek berusia 42 tahun itu diberkas oleh anggota yang menjalankan operasi mengesan suspek yang melarikan diri di kawasan belukar berhampiran tempat kejadian.

“Polis menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 7.43 malam daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pertengkaran antara seorang lelaki dan ibu bapanya di Jalan Penchala Hilir 6 Sungai Penchala di sini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau melibatkan dadah.

Menurutnya polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa dua jam 40 minit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA


Pengarang :