AGENDAJENAYAH

Dakwaan kamera tersembunyi di bilik air inap desa sedang disiasat

GEORGE TOWN, 10 FEB: Polis mengesahkan menerima laporan daripada wanita mendakwa diintip menerusi kamera tersembunyi di bilik air ketika menginap di sebuah inap desa di Jelutong, seperti tular melalui media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati pengadu wanita tempatan berusia 24 tahun mendaftar masuk ke inap desa itu bersama tiga rakannya 5 Februari lalu untuk bercuti.

“Pada 6 Februari kira-kira 8 malam, pengadu mendakwa terjumpa kamera yang disembunyikan di dalam bekas pewangi ketika menggunakan tandas di dalam bilik air.

“Pengadu mengeluarkan kamera itu dan membuat aduan mengenai perkara berkenaan kepada pengurusan inap desa sebelum ke Balai Polis Jelutong membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Razlam, hantaran berhubung dakwaan itu dikesan dimuat naik menerusi aplikasi X oleh pemilik akaun “Isu Semasa Viral” semalam dan tular sehingga mendapat perhatian masyarakat umum.

Beliau berkata siasatan dilakukan dari pelbagai sudut, namun pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang imej atau kandungan video dalam storan kamera terbabit.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes berkenaan sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

Terdahulu, berdasarkan kandungan laporan yang dimuat naik, wanita itu mendakwa dia menyedari ada lubang kecil pada bekas pewangi ketika sedang mandi, lalu membuka bekas terbabit dan mendapati ada sebuah kamera di dalamnya.

Perkara itu kemudian diadu kepada pihak pengurusan dan seterusnya ke balai polis.

– BERNAMA


Pengarang :