BUDAYARENCANA

Habaan Manthura II

Oleh Muhaimin Subki

PABILA SEBUTIR CAHAYA turun menghempas dari angkasa, bumi terus bergegar. Gelombang kejut menendang kuat. Susuk tubuhnya terpelanting ketika dia cuba berlari kencang mencari perlindungan di celah-celah bangunan daripada hujan roket dan peluru yang deras membedil.

Akibatnya, susuk tubuh yang genit dan ringan itu terdampar. Dia tertiarap. Dia terbatuk-batuk. Dadanya seperti disepak-sepak. Dia meludah pasir di dalam mulutnya, lantas cuba berbaring, mencuri nyawa. Dadanya sesak. Wajah langit penuh kabut dan jelaga. Mungkin langit juga sedang derita sepertinya.

Dia cuba mencelikkan mata, tetapi gagal. Pedih. Bebola mata hanya terkebil-kebil dibawah pelupuk. Seperti anak burung yang belum sedia menetas. Kepalanya terasa menusuk. Perit. Mencucuk. Seluruh sendi seperti dikunci. Badannya terpasung. Lenguhnya bukan kepalang. Dia lesu. Dia hilang kudrat. Perlahan-lahan, kelam menelan. Dia tidak sedarkan diri.

‘Kita akan pulang, Arda…kita akan pulang.’

Suara itu. Ia bergaungan sebelum lenyap meninggalkannya dalam kekosongan.

Kali terakhir dia seperti separuh mati begitu adalah ketika dia menelan hakikat tentang Ziyad. Entah apa-apalah pengalaman mengharap balas perasaan daripada seorang lelaki yang tidak inginkan dirinya. Dia patah hati apabila suratnya dikembalikan. Dia bertepuk sebelah tangan, sekalipun mereka berdua homosektual paling berjaya dalam lapangan masing-masing. Lelaki itu seorang hakim termuda yang bakal menerajui institusinya. Dia pula seorang peguam wanita terkemuka yang sering menang perang di kamar-kamar perbicaraan.

Arda menggelarnya Putra Keamanan. Mungkin kerana tulus persahabatan (atau cinta?), dia lebih bersemangat berjuang di lapangan perundangan yang mencabar itu. Perjuangan merungkai-selesai gelut masalah orang-orang dewasa jadong dan tolol yang tidak tahu duduk diam menghirup secangkir kopi dan mengakhiri pertelingkahan dengan aman.

Ziyad lelaki wibawa yang tenang. Dia lebih banyak diam. Lebih banyak melakukan, ketimbang menayang jaguh menjadi jagoan. Dan seorang Mawarda lebih mencintai ketenangan lebih daripada peperangan kata-kata dan pendirian –perang zahir batin yang sarat kerancuan.

Tetapi lelaki itu sudah tiada. Atas justifikasi yang tidak boleh dia fahami dengan rasio dan logika, Ziyad meninggalkannya. Katanya: “Demi menyahut seruan lebih besar dalam jiwa. Aku mahu menjadi sukarelawan kemanusiaan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan melangkah perbatasan kekejaman untuk menyebarkan keamanan”.

Hari-hari selepas itulah, Arda mengurung diri di dalam bilik berhari-hari sehingga mengabaikan hasil kerja seluruh hidupnya. Dia tidak terima alasan sebegitu. “Mengarut!” katanya.

Sehinggalah suatu malam, Arda didatangi gemulah ibu dalam mimpi. Ibu menghalau anjing hitam yang sering menghantui. Ibu mengkhabarkan bahawa kita para warga akan pulang pada akhir kembara. Ketika itulah, Arda, tanpa fikir dua kali terus bangun dari kewalangan, menghantar teks pendek kepada Ameen Henry, mencari tiket di internet, dan terus bersiap untuk berlepas ke Geneva.

Mawarda mengabadikan diri kepada kemanusiaan, demi sebuah makna, sehinggalah dia dihujani berbutir-butir bom dan fosforus putih yang melebat turun dari angkasa. Kepulan-kepulan kabus yang meleret-leret menjadi ekor yang mencalar wajah kusam langit mega – yang terbakar, melaju turun, membuta, lalu dengan bingit lengking tenaga yang mencederakan indra, ia jatuh menyentuh jirim pertama di laluannya dan… BOOM!

Dentum meledak gegar. Jalan melentur. Aspal merekah. Satu-persatu bangunan di perimeter itu pecah, tumbang, sujud, menyembah tanah.

Bumi renyuk. Puing-puing berserakan. Angkasa membias kelabu dari runtuhan pucat dan berdebu.
Ketika itulah Arda hilang rentak tapaknya. Langkahnya menelan getaran. Dia terhuyung-hayang, tersadung, lalu rebah serta-merta. Dia mengengsot mencari lindung sebelum sebutir peledak jatuh meletup beberapa ratus meter di depannya, lalu menimbusnya di bawah runtuh batu-bata. Pandangannya beransur kabur saat darah pekat mengalir turun dari hujung kepala. Dalam langking ingatan, dia terdengar suara jerit pekik tangis manusia yang bertempiaran, sebelum semuanya kedengaran sayup-sayup, dan cahaya hilang berbalam-balam ditelan gelap niskala.

Tinggal semuanya bening. Kecuali suara yang melantun: ‘Kita akan pulang, Arda… kita akan pulang.’

Setelah beberapa ketika, dia tersedar. Dia mengaduh sambil perlahan-lahan membuka mata. Silau terang mencucuk iris netra yang masih lemah mengawal keluar masuk cahaya.

Dia cuba menolak suara dari kerongkong yang kering dan perit. Suara lirihnya bertanya:
“A…ak…ku…di…mm…a…na? Aak…kku…di…ma…na?”.

Sekelilingnya kosong. Dia merasakan seolah-olah berada antara cahaya. Ada sedikit bias galuh dalam silau yang menyentuh retina. Dia yakin matahari tidak terbit di sini. Malah seperti tidak pernah wujud. Kerana tidak ada langsung ufuk dan penghujung di kepegunan ini yang menandakannya.

“Aa…aku…di…mana?” dia bertanya sekali lagi. Khali mengapung seketika sebelum suara tadi menjawab: “Kau di perbatasan…,”

“Per…ba…tasan?”

“…antara aman dan derita, Arda.”

Linglung. Tiada sesiapa di depannya. Siapakah yang berbicara? Yang didengar sayup-sayup di hujung telinga hanya suara tangis warga asli yang tak berhenti. Di wilayah pergolakan, tiada suara lain selain sedu-sedan tangisan, rintihan, dan kecil gelak ketawa yang melapis rasa hiba memikirkan masa depan, kebebasan dan kematian yang tak kunjung tiba.

Arda mengumpul sisa serak suara. Cuba berhadapan. Cuba menjadi berani.

“Sia…pa…eng…kau?”

Sunyi membalas persoalan.

“Kita sudah sampai di perbatasan ini, Arda. Jangan ditunggu lagi. Marilah pulang.”
Arda bingung. Dia mahu ke mana? Masih banyak yang perlu diberikan kepada pertubuhan, orang-orang di sekeliling, dan…dan…argh…dirinya!

“… aku… masih…bel…lum…ber…temu…kea…manan.”

“Kau takkan temui keamanan kinikala, budisatwa. Ini sebahagian daripada janji.”

“Jan…ji?”

“Bahkan!”

Nuraninya faham. Dia berhenti menyoal. Dalam sebu dia patuh, lantas tangannya diangkat ke wajah langit yang persih tak berawan. Lazuardi. Badannya mulai ringan. Dia perlahan-lahan terapung, lalu terbang seperti merpati.

Saat jasadnya naik, Arda menoleh ke bumi. Dia melihat warga asing di tanah yang dijanjikan, dan ketumbukan petualang keamanan dari lima buah negara bertempiaran. Mereka lari dirasuk ketakutan. Meninggalkan kereta-kereta kebal, panji-panji rabak, segala senapang dan peledak di tangan.

Arda melihat semuanya. Samar-samar. Dari celahan empuk pelepah putih yang agung. Dalam tebal kabut debu yang menakutkan.

Ketika itu dia mengimani, petualang keamanan tidak lagi beruntung dari penipuan. Kerana langit akan merah, api akan menyala, dan marak akan membakar. Satu persatu akan hancur, bertukar abu.

Bergentayangan.

 


Pengarang :