Orang ramai meninjau barangan yang terdapat di Eco Free Market ketika Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 11 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA anjur program edar barangan terpakai secara percuma 18 Februari ini

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan ‘Eco Free Market’ bertemakan kembali ke sekolah sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 pada 18 Februari ini.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awamnya Mohd Azhar Mohd Sharif berkata program itu adalah inisiatif MBSA membantu mengurangkan beban golongan asnaf dan berpendapatan rendah (B40) membuat persediaan keperluan serta peralatan sekolah untuk kemasukan anak-anak pada sesi persekolahan 2024.

“Antara jenis sumbangan adalah pakaian sekolah, beg, kain serta barangan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung dan gula.

“Melalui program ini pengunjung hanya perlu membuat pertukaran barang kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama untuk mendapatkan kupon bagi membolehkan mereka mendapatkan barang ditawarkan,” katanya melalui satu kenyataan di sini semalam.

Mohd Azhar berkata program kerjasama Be Kind Malaysia dan persatuan badan bukan kerajaan Suri Rumah Rahmah Malaysia itu melibatkan 82 penyumbang.

“Program ini juga menggalakkan penyertaan komuniti Shah Alam dengan aktiviti kebajikan dan bertindak sebagai platform kepada komuniti untuk menyertai aktiviti amal dengan mengedarkan barang keperluan secara percuma.

“Selain itu, ia juga memupuk dan mendidik orang ramai melaksanakan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian sejajar dengan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu Tiada Kemiskinan (SDG 1) dan Komuniti dan Bandar Mampan (SGD 11),” katanya.


Pengarang :