Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima titah ucapan Diraja daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Sultan: Perkukuh muhibah, elak heret sengketa ke rumah Allah

Titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di istiadat mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 27 Februari.

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim,

Segala puji ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kekuasaan-Nya telah mengizinkan beta untuk berangkat menghadiri Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-15 pada hari ini.

Pertama-tamanya sukacita beta menyeru kepada seluruh rakyat di negeri Selangor supaya bersyukur di atas segala nikmat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan yang telah dikurniakan kepada negeri Selangor ini.

Marilah kita berusaha memperbaiki setiap kekurangan yang ada, memperkukuhkan hubungan baik dan muhibbah sesama rakyat, menghindari persengketaan dan menjauhi segala perbuatan yang boleh membawa kemudaratan kepada negeri Selangor terutama amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beta berharap persidangan mesyuarat Dewan Negeri Selangor ini seharusnya menjadi contoh terbaik kepada rakyat di luar sana di mana semua perbahasan mestilah berlangsung dengan penuh integriti dan bertanggungjawab dan bukan menjadi medan menabur fitnah serta membesar-besarkan isu sensitif serta berita palsu.

Suasana perbahasan haruslah sentiasa dalam keadaan harmoni dan adil kepada semua.

Suka beta ingatkan kepada Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor agar bertindak adil serta bertoleransi antara satu sama lain dan menumpukan perbahasan kepada perkara yang memberikan manfaat yang sebaiknya kepada rakyat dan kemajuan negeri.

Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada pentadbiran Memanda Dato’ Menteri Besar di atas pencapaian Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2023.

Rizab kerajaan beta melalui Kumpulan Wang Disatukan merekodkan angka berjumlah RM3,561 juta, kutipan hasil negeri pada tahun 2023 telah merekodkan angka melebihi sasaran iaitu sebanyak RM2,708 juta.

Manakala lebihan kewangan dari kutipan hasil dan perbelanjaan negeri pada tahun 2023 sebanyak RM206 juta.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex pada 23 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR

Pelbagai hasil

Beta berharap prestasi kewangan ini dapat dipertingkatkan dan negeri Selangor akan terus kekal menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar untuk Malaysia.

Walau bagaimanapun hasil negeri ini perlulah diurus dengan baik dan dibelanjakan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan beta akan memulakan Rancangan Selangor Pertama pada tahun 2024 untuk memastikan ekonomi negeri lebih kukuh dan berdaya saing bagi jangka masa lima tahun akan datang.

Usaha mempelbagaikan hasil negeri akan mula dilaksanakan dengan strategi menambahkan hasil Kerajaan Negeri melalui sumbangan dan dividen daripada anak syarikat / badan berkanun dan agensi Kerajaan Negeri dengan sasaran sebanyak RM40 juta pada tahun 2024 daripada anak syarikat di bawah pegangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Selain itu, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah sedang dalam proses menyemak semula kadar bayaran fi Pejabat (office fees) bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.

Semakan ini perlu dilakukan kerana kali terakhir kadar ini disemak dalam Kaedah-kaedah Tanah Selangor (Pindaan) 2007.

Kerajaan beta telah membentangkan Belanjawan Tahun 2024 berjumlah RM2,530 juta dan telah diluluskan melalui Enakmen Perbekalan 2024.

Peruntukan ini adalah sebagai persediaan merealisasikan tema belanjawan negeri Selangor pada tahun ini iaitu: Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan.

Pelbagai aspek telah diambil kira dan sejumlah tambahan peruntukan baru bagi keterjaminan bekalan makanan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bernilai tinggi, penggunaan teknologi pintar dalam penambahbaikan pengangkutan awam, Program Tuisyen Percuma dan Insentif Haji Muassasah.

Manakala Iltizam Selangor Penyayang terus diperkukuhkan dengan bantuan rawatan asas dan vaksinasi, manfaat hospitalisasi, bantuan taska, tadika, serta anak istimewa.

Ekonomi negeri Selangor pula dianggarkan tumbuh dengan kadar 4.1 peratus pada tahun 2023 dan diunjurkan berkembang secara konsisten pada tahun 2024 dengan kadar 5.2 peratus dengan sektor perkhidmatan terus menjana pertumbuhan, menyokong perbelanjaan swasta yang terus mengukuh.

Sektor pembinaan juga dijangka tumbuh dengan pantas berbanding sektor-sektor lain, antara lain disokong oleh pembinaan projek-projek awam untuk meningkatkan kapasiti ekonomi.

Pada tahun ini, beta amat berharap segala perancangan yang telah digariskan di dalam Rancangan Selangor Pertama dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan terutamanya program kebajikan dan kesejahteraan rakyat, projek-projek berimpak tinggi khususnya pembangunan wilayah ekonomi baharu, inisiatif hasil ekonomi baharu serta mewujudkan suasana mesra pelabur bagi menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Selangor.

Beta mengalu-alukan inisiatif kerajaan beta melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) seluruh negeri Selangor membangunkan Sistem e-Tanah Negeri Selangor yang telah dilancarkan pada Oktober 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKI

Impak positif

Penambahbaikan sistem tadbir urus tanah yang telus akan dapat memberikan impak positif yang signifikan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat.

Aspek digitalisasi akan membantu dalam proses semakan, perancangan dan juga pemantauan di mana ia boleh dibuat secara lebih pantas, berkala dan teratur.

PTGS akan membuat pentakrifan semula bagi jenis-jenis bahan batuan dan mineral memandangkan nilai bagi kedua-dua bahan tersebut telah menunjukkan peningkatan yang drastik di pasaran.

Pentakrifan ini akan melibatkan kadar royalti yang lebih tinggi selaras dengan kadar yang telah ditetapkan melalui Enakmen Mineral Negeri Selangor dan juga pekeliling-pekeliling yang masih berkuat kuasa.

Beta menzahirkan penghargaan kepada kerajaan beta yang sedang menyelesaikan isu persempadanan negeri Selangor.

Sehingga kini, kejayaan negeri Selangor dalam memuktamadkan persempadanan darat dengan Pahang, Negeri Sembilan, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Maka, usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkaitan yang terlibat bagi mengesahkan dan memuktamadkan pula isu-isu persempadanan negeri Selangor yang masih perlu diselesaikan.

Beta bersyukur kerana negeri Selangor dilimpahi kemakmuran dan mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan rakyat beta.

Walau bagaimanapun, wajar ada persediaan untuk menghadapi cabaran perubahan iklim seperti musim kemarau.

Tahap kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah masih berada pada tahap yang rendah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik yang tinggi dianggarkan sebanyak 215 liter seorang sehari.

Oleh itu, beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menggunakan air harian secara cermat dan berhemah bagi menyumbang kepada peningkatan simpanan air semasa.

Beta juga mengambil maklum komitmen kerajaan beta untuk menangani isu bekalan air dengan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko dan menjamin keselamatan air untuk negeri.

Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) meliputi semua perancangan kerajaan beta dalam menguruskan air termasuk air banjir yang akhirnya boleh dijadikan sebagai sumber air untuk dibekalkan bagi tujuan rawatan oleh Air Selangor ataupun untuk kegunaan aktiviti seperti pertanian atau perikanan.

Di bawah Projek SJAM ini, ia turut melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih yang dijangka akan siap pada akhir tahun ini dan boleh dioperasikan pada pertengahan tahun 2025.

Selain itu, Projek Skim Air Sungai Rasau akan menjadi sumber air baharu yang mampu menghasilkan air terawat yang dianggarkan lebih kurang 1,400 juta liter sehari melibatkan dua komponen iaitu pembangunan sumber air yang dikenali sebagai Kolam Takungan Dwi Fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang – Sungai Rasau, Selangor dan Kerja-kerja Pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) termasuk sistem paip agihan, tangki air dan lain-lain yang berkaitan yang akan dibangunkan dalam dua peringkat, iaitu setiap satu peringkat dengan kapasiti 700 juta liter sehari.

Kakitangan Air Selangor menunjukkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari paip lama telah diganti ketika tinjauan bagi melihat kerja selenggaraan yang hampir siap di Loji Rawatan Air Selangor SSP1, Bukit Badong, Kuala Selangor pada 13 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sumber air

Beta ingin zahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akan membiayai kerja-kerja pembangunan sumber air ini melalui geran dengan anggaran berjumlah RM1,800 juta.

Di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terdapat lebih kurang 30,500 kilometer (km) paip yang membekalkan air kepada pengguna.

Ketika ini banyak berlaku kejadian paip pecah disebabkan oleh paip yang usang, tekanan berlebihan ke atas paip dan juga vandalisme.

Untuk menaik taraf rangkaian paip, kerajaan beta telah menyatakan komitmen menggandakan kadar penggantian paip daripada 150 km setahun kepada 300 km setahun.

Beta menggesa semua pihak yang berkaitan untuk memberikan kerjasama bagi memastikan proses penggantian paip-paip usang ini dapat disegerakan.

Sehubungan dengan itu, beta menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan beta untuk mengurangkan kesan kenaikan tarif kepada rakyat di mana Kerajaan Negeri akan menyerap dan menanggung peningkatan kos bagi penerima air percuma di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE), sekolah-sekolah, serta masjid, surau dan rumah-rumah ibadah bagi kemaslahatan rakyat.

Kos tanggungan kerajaan beta akan meningkat kepada anggaran RM 37.7 juta setahun namun usaha ini akan meringankan beban rakyat beta dan merupakan manifestasi terhadap keprihatinan kerajaan beta.

Beta mengambil maklum perancangan yang telah dirangka oleh kerajaan beta untuk membina 1,000 stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negeri Selangor.

Kewujudan stesen pengecas kenderaan elektrik merupakan langkah untuk mempercepatkan transformasi kepada kenderaan elektrik yang lebih mesra alam.

Beta juga mengambil maklum akan cadangan penggunaan kenderaan elektrik oleh kerajaan beta dan agensi serta badan berkanun.

Inisiatif ini diharap akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan kenderaan elektrik di Selangor dan menyokong inisiatif mobiliti yang lestari alam.

Pembangunan Sultan Idris Shah Green Energy (SISGE) Plant, iaitu taman tenaga hijau (Green Eco Park) yang merangkumi fasiliti loji sisa kepada tenaga (Waste-to-Energy) berkemampuan untuk membakar 2,400 tan sampah sehari dan menjana 130.5 megawatts tenaga elektrik melalui pembangunan yang melibatkan empat fasa.

Ianya dapat menjana nilai tambah daripada sisa pepejal melalui penjanaan tenaga dan bahan berguna yang boleh diperdagangkan seperti elektrik, haba atau bahan api.

Beta telah mengambil maklum langkah kerajaan beta membangunkan District Disaster Operation Centre (DDOC) bagi mengurus, menyelaras dan memantau pengurusan bencana daerah.

DDOC ini telah dimulakan di tiga buah daerah iaitu Petaling, Klang, dan Hulu Langat, manakala pembangunan di daerah lain akan diteruskan pada tahun ini.

Beta juga telah mengambil maklum pelbagai usaha yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan beta bagi mengatasi masalah banjir yang sentiasa menyusahkan rakyat beta.

Bagi tahun 2024, kerajaan beta telah memperuntukkan sebanyak RM23 juta dalam usaha untuk memastikan pengurusan pembangunan tebatan banjir berkesan.

Beta menzahirkan pandangan bahawa pengurusan banjir harus dilihat secara lebih terperinci terutamanya penjagaan parit-parit dan longkang di kawasan yang mempunyai penduduk yang padat.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah meninjau kawasan Hutan Simpan Ulu Selangor dan Santuari Ikan Sungai Chiling di Kuala Kubu Bharu pada 22 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Jaga hutan

Penjagaan hutan sebagai pengimbang ekosistem dan untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang adalah sangat penting untuk diberi tumpuan.

Dalam kerancakan pembangunan negeri, beta menggesa agensi pelulus pembangunan untuk tidak mengambil ringan terhadap kesan pembangunan ini kepada alam sekitar.

Oleh yang demikian, beta menyokong Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor melibatkan kawasan taman negeri Selangor seluas 108,000 hektar yang merupakan gabungan beberapa buah hutan simpanan kekal.

Kawasan ini juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri terletak di daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

Beta telah berkenan mengisytiharkan Hutan Warisan Diraja ini pada 28 November 2023 lalu.

Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor ini dijangka akan menjadi salah satu tarikan utama ekopelancongan di negeri Selangor.

Beta bersyukur kerana syiar Islam terus ditegakkan dengan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Selangor.

Masjid dan surau perlu terus aman dan berkecuali daripada persengketaan serta perbalahan di sekelilingnya.

Rumah Allah adalah tempat untuk umat Islam beribadah, mencari ketenangan, membersihkan jiwa dan meningkatkan tuntutan silaturahim sesama ummah.

Sehubungan dengan itu, perlu dielakkan sama sekali unsur pencetus permusuhan dan perpecahan yang berlaku di luar daripada berlaku di dalam masjid.

Selain itu, institusi masjid dan surau juga perlu diurus dengan profesional, adil dan telus.

Pada 7 Disember 2023 yang lalu, beta telah melancarkan Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 berkuatkuasa 1 Januari 2024.

Beta ingin mengingatkan para pentadbir masjid dan surau untuk mematuhi garis panduan tersebut agar urus tadbir dapat dijalankan secara efisien.

Para pentadbir juga perlu sentiasa mendengar dan responsif kepada keperluan para jemaah dengan menggunakan sebaiknya kutipan sumbangan sedekah bagi menjamin keselesaan beribadah.

Beta difahamkan kerajaan beta sedang berusaha untuk mengukuhkan lagi Insentif Haji Selangor yang dilaksanakan tahun lalu dengan memberi tajaan penuh kepada empat orang rakyat beta bagi setiap daerah dalam negeri Selangor yang miskin dan tidak mampu untuk melaksanakan ibadah haji di Baitullah.

Besarlah harapan beta untuk melihat negeri Selangor ditadbir dengan penuh integriti, berwawasan dan efisien serta kekal dalam keamanan dan kesejahteraan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengibar Jalur Gemilang bersama penjawat awam selepas perhimpunan bulanan penjawat awam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 22 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Perkhidmatan terbaik

Rakyat beta perlu diberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan pembangunan pesat yang dicapai hari ini dan insya-Allah pada masa hadapan.

Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati para penjawat awam di negeri Selangor agar melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Beta mahu agar kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan-urusan kerajaan, dikurangkan segera.

Perlu ada “sense of urgency” dan bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.

Beta tidak mahu sikap lalai dan malas terus diamalkan oleh penjawat awam sehingga menyebabkan banyak projek-projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.

Sebagai contoh, projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera.

Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat beta yang akan terus menanggung akibatnya.

Suka beta mengingatkan sekali lagi kepada pihak berkuasa tempatan agar dapat melaksanakan syor beta supaya keanggotaan ahli-ahli majlis terdiri daripada sekurang-kurangnya 50 peratus golongan profesional dan tidak dimonopoli oleh ahli politik.

Dengan adanya langkah ini, diharap segala masalah dan aduan rakyat dapat ditangani dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Beta mahu pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain, memastikan baik-pulih (maintenance) harta awam diselenggara dengan baik.

Ini termasuklah pembaikan jalan-jalan raya yang rosak, parit dan longkang yang tersumbat, lif di bangunan awam dan perumahan serta kemudahan untuk bersukan dan rekreasi.

Beta akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk para penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di negeri Selangor ini selaras dengan moto “Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam” “Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara”.

Kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor, beta mengucapkan selamat bersidang dalam suasana yang harmoni supaya dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan juga negeri.

Ahli-ahli Dewan Negeri sewajarnya menghindari persengketaan dan berbahas dengan secara bertanggungjawab serta berhemah.

Jauhilah perbuatan yang bersifat melampau yang mampu membawa kemudaratan dan menjejaskan nama baik Dewan yang mulia ini.

Sekian.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Pengarang :