BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Berkuburnya Empayar Utsmaniah, petanda merosot terserlah 150 tahun terakhir

Empayar Utsmaniah terbentang di tiga benua – barat Asia, utara Afrika dan tenggara Eropah – selama lebih 600 tahun sejak diasaskan oleh tokohnya Osman Ghazi pada hujung abad ke-13 di Anatolia.

Selepas fasa keemasan pada kurun ke-15 dan ke-16, kekuatan empayar ini perlahan-lahan menyusut dan terpaksa berdepan saingan negara-negara Eropah yang sedang bangkit dan meluaskan kuasa.

Abad ke-19 menyaksikan kemerosotan lebih ketara pengaruh Utsmaniah walau tanda-tanda awal sudah muncul 50 hingga 100 tahun sebelum itu. Memasuki abad ke-20, empayar yang kian mengecil itu tidak dapat diselamatkan lagi.

Tewas dalam Perang Dunia Pertama, wilayahnya yang besar diracik-racik kuasa Barat, khususnya Britain dan Perancis.

Pemberontakan wilayah kecil bawah penguasaannya semakin kuat. Umat Islam sendiri termasuk Arab bekerjasama dengan kuasa penjajah Eropah. Kaum Turkiye Muda menentang sistem lama, sekali gus menoktahkan khilafah pada 3 Mac 1924.

Empat punca utama kemerosotan itu dianalisis ilmuwan Turkiye, profesor M Sukru Hanioglu, dalam bukunya A Brief History of the Late Ottoman Empire.

Merujuk pergolakan di dalam dan luar empayar tersebut antara 1798 hingga 1918, lulusan doktor falsafah Universiti Istanbul itu menyelongkar arus kemerosotan dalam tempoh kira-kira 150 tahun.

Penterjemah Puspawati Rosman

Perkara yang disentuh antaranya kelemahan reformasi ekonomi, pentadbiran cacamarba, pertembungan golongan nasionalis sekular dengan agamawan konservatif dan kepelbagaian etnik dalam empayar itu.

Perbahasan menarik sejarahwan Universiti Princeton itu diterjemah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd menerusi pembiayaan Kerajaan Selangor.

Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi menjelaskan kenapa buku ini dipilih, manakala penterjemah Puspawati Rosman berbicara tentang proses penghasilan Detik-Detik Akhir Empayar Utsmaniah.

Kenapa pilih buku tulisan M Sukru Hanioglu?

Buku ini dicadangkan oleh IBDE yang pernah membacanya. M. Sukru Hanioglu seorang sarjana dalam sejarah Utsmaniah dan seorang profesor di Jabatan Pengajian Timur Dekat, Universiti Princeton. Beliau sangat aktif menulis dalam bahasa Turkiye dan Inggeris.

Berdasarkan kajian IBDE buku-buku tulisannya mendapat ulasan yang baik daripada pembaca. Justeru IBDE ambil keputusan untuk menterjemahkan bukunya ke dalam bahasa Melayu pula untuk manfaat kita semua.

Farhan: A Brief History of the Late Ottoman Empire dipilih kerana nilai perbahasan yang ditawarkannya adalah sangat tinggi. Buku ini ditulis oleh seorang sarjana dan sejarawan yang terkenal dari Turkiye.

Bagi sesiapa yang mengkaji dan sering mengambil iktibar daripada sejarah dan politik Turkiye, nama beliau memang tidak asing.

Dalam buku ini, kita mengenali beliau sebagai seorang sarjana yang luas pengetahuannya dan lebih penting, beliau memaparkan pandangannya dengan seobjektif mungkin, biarpun kita tahu bahawa sangat sulit untuk berbuat sedemikian lebih-lebih lagi beliau adalah orang dalam.

Hanioglu menawarkan penjelasan tentang kerumitan sejarah, politik, dan budaya empayar Utsmaniah pada abad-abad terakhirnya.

Beliau meneliti perubahan-perubahan ekonomi yang terjadi sepanjang tempoh itu dan memberi penekanan terhadap cara empayar Utsmaniah menangani cabaran-cabaran kemodenan.

Untuk memahami Turkiye moden, pemahaman terhadap sejarah abad-abad terakhir itu adalah penting, sama pentingnya kalau kita ingin memahami sejarah Eropah dan dunia!

Buku ini beliau tulis setelah beliau melakukan kajian mendalam—dengan menggali sumber-sumber asal daripada arkib—bagi menjelaskan apa yang sebenarnya terjadi, bukan seperti apa yang digambarkan oleh naratif-naratif nasionalis pasca-penjajahan.

IBDE berminat untuk meneroka lebih banyak buku tentang sejarah dunia dan Islam khususnya, jadi buku A Brief History of the Late Ottoman Empire adalah pilihan terbaik untuk diterjemah dan diterbitkan pada kali ini.

Boleh ceritakan bagaimana proses awal menterjemah buku ini?

Saya baca dulu buku ini sepintas lalu supaya mudah memahami arah tuju dan maksud yang ingin disampaikan. Saya juga kenal pasti beberapa istilah khas dan perkataan yang kerap digunakan penulis asal dalam buku ini dan buat kajian maksud yang sesuai dan sepadan dalam bahasa Melayu.

Selain daripada itu saya juga buat sedikit draf awal, kemudian menghantarnya kepada editor buku ini iaitu saudara Aedi Asri dan berbincang dengannya tentang pendekatan dan gaya bahasa yang sesuai digunakan untuk buku ini. Selepas itu proses penterjemahan jadi lebih mudah dan lancar.

Apakah cabarannya, sama ada dari segi bahasa atau lain-lain?

Dalam penterjemahan, saya lebih suka mengekalkan nada asal penulis asal. Begitu juga dengan keadaan fikirannya. Contohnya ketika menterjemah buku Anne Frank (Diari Seorang Gadis) saya menggunakan gaya bahasa yang lebih mudah, ringkas yang mencerminkan penulis asalnya yang berusia 13-15 tahun.

Ketika menterjemah buku ilmiah pula saya menggunakan gaya yang lebih sesuai. Dari segi ini cabarannya ialah cuba memahami penulis asal itu sendiri serta pembaca sasaran. Selain daripada itu ada juga cabaran dari segi lenggok bahasa yang digunakan penulis asal. Adakala buku asal menggunakan perkataan yang agak kasar dan ada juga yang sensitif dari segi agama.

Tugas saya sebagai penterjemah ialah mengenal pasti dan memahami pembaca sasaran serta mencari perkataan yang sesuai untuk khalayak pembaca tanpa mengubah maksud dan tujuan penulis asal. Istilah-istilah khas seperti kata nama, istilah khas bidang-bidang tertentu seperti sains dan undang-undang juga haruslah diterjemahkan dengan tepat jadi perlu buat sedikit kajian.

Ketika menterjemah buku Utsmaniah ini yang merupakan ringkasan sejarah sepanjang satu setengah abad, ada topik yang cuma disentuh sedikit sahaja oleh penulis asal.

Namun walaupun sedikit, penting bagi saya memahami konteks sebelum menggunakan perkataan atau membentuk ayat yang sesuai. Jadi saya perlu buat rujukan sendiri mengenai topik yang disentuh melalui bahan-bahan bacaan lain, merujuk ucapan, peta dan sebagainya.

Ada ilmu baharu yang perolehi?

Berkait dengan jawapan kepada soalan sebelum ini — sepanjang menterjemah buku ini banyak yang saya pelajari tentang empayar Utsmaniah dan sosok-sosok yang terlibat, walaupun tidak disebut secara terperinci di dalam buku tetapi melalui bacaan tambahan yang perlu saya lakukan supaya dapat menterjemah dengan tepat.

Berapa lama proses terjemahan?

Untuk buku ini, garis masa yang diberi IBDE kepada saya ialah selama lima bulan untuk draf pertama dengan lima kali hantaran secara berperingkat bagi memudahkan proses suntingan oleh editor.

Kemudian tambah tiga bulan lagi untuk proses semakan selepas suntingan dan draf akhir. Jadi semua sekali lapan bulan (dari Februari 2023 hingga Oktober 2023).

Apa pengajaran yang boleh pembaca ambil iktibar?

Pengajaran dari segi pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara — faktor dan cabaran yang perlu diambil kira ketika melaksanakan sesuatu reformasi, pemodenan atau pemusatan dalam pentadbiran.

Kesederhanaan yang perlu diamalkan ketika menganuti atau mengikuti sesuatu aliran pemikiran. Perlunya pengurusan ekonomi dan kewangan negara yang bijak dan berhemah. Karya ini juga ada menyentuh mengenai peranan penjawat awam dan tentera serta peranan mereka dalam kerajaan.

Bagaimana perasaan ketika menemui fakta baharu atau mengejutkan?

Secara umumnya penulis membincangkan secara objektif berdasarkan kepada kajian sejarah. Jadi saya tidak begitu terkesan dari segi emosi.

Kepadatan kandungan fakta dalam buku ini membantu pembaca fokus pada nilai-nilai yang objektif berbanding subjektif.

Namun saya ada juga berasa sedikit jengkel apabila membaca reaksi dan layanan kuasa-kuasa Barat terhadap empayar Utsmaniah yang pada ketika itu sedang berusaha untuk menyertai Penstrukturan Eropah.

Bahagian mana yang paling menarik?

Bagi saya bahagian yang paling menarik ialah cabaran yang dihadapi Utsmaniah untuk melakukan reformasi dalam pentadbiran, membentuk perlembagaan dan parlimen di empayar tersebut.

Di sini juga kita dapat lihat bagaimana pemerintah pada zaman itu cuba memanipulasi undang-undang dan perlembagaan demi kepentingan mereka sendiri.

Saya juga tertarik membaca bagaimana sesebuah bahasa itu boleh menyatukan atau memecahkan struktur masyarakat dalam sesebuah empayar, atau negara.

Contohnya ketika zaman pemerintahan Utsmaniah kebanyakan pembesar menggunakan bahasa yang langsung tidak difahami oleh masyarakat bawahan sehinggalah usaha pemiawaian dilaksanakan.

Selain daripada itu, agak menarik membaca kajian dan pandangan penulis mengenai gerakan Turkiye Muda.

Mengapa setiap rumah perlu ada buku ini?

Pada pendapat saya buku ini boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui sejarah zaman akhir empayar Utsmaniah. Kandungannya mudah dibaca bahkan oleh pembaca yang belum pernah mendalami sejarah Utsmaniah.

Meskipun buku ini boleh dikatakan ringkasan sejarah yang panjang (yang mencakupi tempoh selama satu setengah abad), ia sesuai dijadikan bacaan pemula sebelum pembaca mencari bahan bacaan lain yang lebih terperinci.

Buku ini juga menarik kerana penulis berkongsi banyak bahan kajian yang ditemuinya sepanjang membuat penyelidikan untuk menulis buku ini.


Pengarang :