AGENDANASIONAL

Segera lengkapkan pengangkutan awam, cegah maut di jalanan setiap 80 minit

SHAH ALAM, 7 MAC: Kadar kematian yang tinggi di jalan raya boleh dielakkan jika kerajaan segera melengkapkan sistem pengangkutan awam di seluruh negara terutama di Lembah Klang.

Wakil rakyat Petaling Jaya berkata kenderaan persendirian di jalan raya meningkat saban tahun berikutan jutaan rakyat terpaksa menggunakannya untuk pekerjaan dan kehidupan harian.

Menurut Lee Chean Chung, paparan statistik kemalangan juga tidak menyelesaikan isu berkenaan kerana rakyat perlu mengambil risiko atas jalan raya susulan tiada pilihan lebih selamat.

“Kadar kematian boleh dielakkan, saya menggesa kerajaan menyegerakan usaha melengkapkan sistem pengangkutan awam bermula dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Selain projek mega seperti MRT3, LRT di Pulau Pinang dan Johor Bahru, (perlu dilaksana) dasar yang menyokong perkhidmatan pengangkutan bas, lorong basikal dan pejalan kaki,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau juga mencadangkan kerajaan supaya menambah lorong khas motosikal berikutan 67 peratus atau 4,480 penunggang maut, dengan purata seorang setiap dua jam.

Jelasnya lagi, lorong khas banyak dibina di Jepun, Korea dan China, majoritinya menggunakan kenderaan dua roda, bukan mewarisi sistem British yang tidak menggunakan motorsikal.

“Mengapa kita tidak boleh memanfaatkan dasar pandang ke timur, berfikiran terbuka dan mewujudkan lorong khas motorsikal supaya semua pihak rasa lebih selamat dan selesa?” soal Chean Chung.

Tahun lalu, seramai 6,643 orang maut akibat kemalangan jalan raya, angka tertinggi direkodkan dalam tempoh lima tahun dengan anggaran 18 kematian setiap hari atau seorang setiap 80 minit.

 


Pengarang :