Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kanan) bersama wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze melancarkan program Ramadan Elak Pembaziran Makanan di bazar Ramadan USJ4, baru-baru ini. Foto ihsan MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ selamatkan 602kg makanan bazar, agih kepada golongan susah

SHAH ALAM, 27 MAC: Sebanyak 602 kilogram makanan bazar Ramadan ‘diselamatkan’ Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) setakat minggu lalu untuk diagih kepada golongan memerlukan (B40).

Dianggar bernilai RM14,448, inisiatif menerusi program Ramadan Elak Pembaziran Makanan dibuat di enam lokasi dengan kerjasama badan bukan kerajaan, kata datuk bandar Subang Jaya.

Menurut Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim, program sehingga hujung puasa juga bagi menangani isu khasiat pemakanan dalam kalangan kanak-kanak B40 selain menjimatkan kos pengurusan sampah.

“Semua makanan ini dihantar kepada beberapa kelompok komuniti dan individu antaranya Flat SS19 dan Puchong Indah, rumah kebajikan dan penduduk kurang berkemampuan di Bukit Lanchong,” jelasnya.

Beliau memaklumkan enam bazar itu meliputi USJ4, USJ7, Pinggiran USJ, SS19, Putra Height dan Taman Puchong Indah, dengan 1,385kg gas rumah kaca berjaya dielakkan daripada atmosfera setakat ini.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata pihaknya memastikan tiada lagi penggunaan polistirena termasuk penyedut minuman plastik disediakan kepada pelanggan di semua bazar Ramadan bawah MBSJ.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Program MySave Food@ Bazar Ramadan yang dirintis Majlis Bandaraya Shah Alam di bazar Ramadan Seksyen 19.

 


Pengarang :