BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hayati makna Ramadan, puasa asuh akhlak, tingkat takwa

Salah satu tetamu istimewa yang akan sering hadir setiap tahun ialah Ramadan yang merupakan bulan seribu pengajaran.

Ibadat utama pada Ramadan ialah puasa, dalam masa bulan ini turut dimakmurkan dengan ibadat solat tarawih, sedekah, bacaan al-Quran memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dan juga zakat fitrah.

Apakah maksud puasa? Kalimat al-Sawm (puasa) menurut Imam al-Raghib al-Asfahani asalnya bererti “menahan daripada perbuatan; sama ada makan, bercakap atau berjalan. Untuk itu, kuda yang ditahan daripada berjalan, atau makan disebut sebagai sa-im (yang menahan diri).”

Tetapi, makna puasa tidak terhad kepada menahan diri dalam bentuk fizikal sahaja. Islam mendatangkan makna dan hikmah di sebalik sesuatu ibadat yang disyariatkan.

Jemaah menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah yang kembali dirapatkan saf setelah negara ini memasuki Fasa Peralihan Endemik pada tinjauan di Masjid Jamek Kampung Baru pada 2 April 2022. Foto BERNAMA

Oleh itu, ketika menyebut tentang perintah puasa, al-Quran menyebut bahawa tujuannya supaya orang-orang yang berpuasa itu bertakwa kepada Allah SWT. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)
Makna takwa disebut dengan jelas sebagai matlamat yang mahu dicapai di sebalik ibadat puasa. Mengapa disebut “supaya kamu bertakwa?”

Allama Muhammad Abdullah Diraz menyebut dalam al-Sawm: Tarbiyah wa Jihad bahawa ayat tersebut tidak menyebut “supaya kamu sakit” (melihat kepada sesetengah tradisi beragama yang mengaitkan pengalaman kerohanian dengan menyakiti diri sendiri), “supaya kamu sihat” atau “supaya kamu bersederhana (sekalipun kesihatan dan bersederhana itu antara hikmah daripada amalan puasa)”.

Sebaliknya Tuhan “menjadikan puasa sebagai pengalaman kerohanian dan akhlak. Selain itu, Tuhan mahu puasa menjadi jalan untuk mencapai sifat-sifat golongan bertakwa dan menjadi alat untuk memperoleh ketakwaan.”

Menurut perspektif Islam, takwa pencapaian tertinggi dalam dunia kerohanian, bahkan dunia kemanusiaan.

Oleh yang demikian kita melihat, al-Quran (dan juga beberapa hadis) menyebut bahawa kemuliaan manusia itu diukur berdasarkan ketakwaan (Al-Hujurat: 13)

Takwa juga konsep yang praktikal dan bukan sekadar tentang kelazatan kerohanian. Contohnya dalam surah al-Maidah, ayat 8 menyebut: “Berlaku adillah, kerana perbuatan adil itu lebih dekat kepada takwa.”

Boleh dinyatakan bahawa menurut kerangka Islam, persoalan ketakwaan terletak pada sejauh mana kesan baiknya dalam kehidupan keduniaan.

Hal ini berbeza dengan ukuran kerohanian lain seperti pengalaman dan perjalanan kerohanian lebih dikaitkan dengan pengasingan diri daripada masyarakat dan persekitaran.

Iman dan rohani

Bertanya tentang kualiti ketakwaan ialah bertanya tentang sejauh mana kita melakukan tindakan berakhlak dalam kehidupan. Akhlak dengan Allah, manusia dan alam.

Konsep pengasingan diri secara mutlak tiada dalam konsep kerohanian Islam. Adapun memperuntukkan masa menyendiri itu amat erat dengan kerohanian; iaitu waktu berhenti daripada kebiasaan, merenung kehidupan dan sentiasa menghitung kekurangan diri untuk dibaiki.

Sebagai contoh, solat dan galakan untuk berzikir yang mengakar dalam tradisi Islam.

Disebabkan itu, kita mendapati ukuran keimanan dan kekuatan kerohanian menurut kerangka Islam berkait dengan sejauh mana mutu interaksinya dalam kehidupan.

Al-Quran dan hadis berulang kali mengingatkan kehidupan sebagai bumi ujian, justeru untuk hidup adalah untuk bersedia dan proaktif mendepani pelbagai cabaran dan ujian.

Satu lagi makna kerohanian di sebalik amalan ibadat termasuk puasa ialah disiplin diri. Puasa menekankan agar kita “menguasai diri”.

Bukan sekadar dengan menahan diri daripada makan dan minum, malah juga dengan menjaga pandangan, lisan, pendengaran dan seluruh anggota badan daripada perkara yang membawa kepada dosa.

Dalam Bidayah al-Hidayah, Imam al-Ghazali berkata:

“Apabila berpuasa, janganlah kamu menyangka puasa itu hanya meninggalkan makan, minum dan hubungan intim sahaja. Rasulullah SAW bersabda: “Betapa ada orang yang berpuasa, tiada baginya apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.”

Malah, penyempurna puasa itu adalah dengan menahan seluruh anggota badan daripada perkara yang dibenci oleh Allah. Kamu hendaklah memelihara mata daripada memandang perkara-perkara yang dibenci, memelihara lisan dari menyebut dengan apa yang tidak bermanfaat dan memelihara telinga dari mendengar apa yang Allah Ta’ala haramkan kerana pendengar merupakan rakan kongsi kepada pengumpat.

Demikianlah kamu menahan seluruh anggota badan sepertimana kamu menahan perut dan kemaluan!”

Orang ramai tidak melepaskan peluang membawa keluarga berbuka puasa bersama-sama sempena cuti hujung minggu di padang Dataran Shah Alam pada 2 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sekiranya persoalan makna dan rahsia terabai dalam melakukan ibadat puasa, maka hal itu akan menyebabkannya terisi dengan hal-hal lain yang bertentangan dengan tujuan asal pensyariatan ibadat berpuasa dan penganugerahan bulan penuh berkat bernama Ramadan.

Ramadan dan puasa hanya contoh kecil. Hakikatnya renungan terhadap hakikat beragama secara besar-besaran perlu dilakukan demi pembangunan kerohanian yang memberi impak gemilang terhadap kemanusiaan.

Tanpa menghayati makna, ibadat kita tinggal menjadi adat yang dilalui setiap tahun tanpa meninggalkan sebarang kesan kepada diri.

—————————————————————————————————————————————————————————–Marwan Bukhari A Hamid ialah penulis dan penterjemah. Lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia

 


Pengarang :