Sebuah helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi, 5 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Insiden helikopter APMM mendarat cemas di laut, 21 penyelam cari kotak hitam

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Seramai 21 penyelam penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terlibat dalam fasa kedua pencarian kotak hitam helikopter AW139 milik agensi tersebut yang melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa pada 5 Mac lepas.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata pencarian kali ini memfokuskan keluasan antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada pinger.

Beliau berkata berdasarkan maklumat Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam itu dipercayai berada di sekitar 700 hingga 800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter tersebut.

“Mengikut laporan diterima, para penyelam berhadapan kesukaran untuk mencari kotak hitam berkenaan akibat keadaan arus deras di dasar laut selain jarak penglihatan dalam air terhad akibat dasar laut berlumpur.

“Bagaimanapun pihak APMM positif akan menjumpai kotak hitam berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini kotak tersebut dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hamid, selain penyelam penyelamat APMM, misi turut melibatkan kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat APMM iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd.

“Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 hingga 24 Mac lepas dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar satu kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :