Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KDN teruskan siasatan kes stoking meski KK Mart mohon maaf

SHAH ALAM, 18 MAC: Siasatan terhadap KK Super Mart berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah tetap berjalan meskipun pengurusan pasar raya berkenaan membuat permohonan maaf.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tindakan terhadap pengurusan dan pembekal dibuat bagi memastikan ia tidak lagi berada dalam pasaran.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius perkara ini. Walau sudah ada permohonan maaf, siasatan diteruskan bagi menangani isu yang mencetuskan dan menggemparkan kegusaran awam.

“Pemeriksaan ke atas semua premis seluruh negara dijalankan dan hasilnya kita dapati produk sudah ditarik balik,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah sebanyak 36 laporan polis diterima setakat ini daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap penjualan stoking berkenaan di salah sebuah cawangan di Sunway, Selangor.

Dr Shamsul Anuar menjelaskan satu kertas siasatan turut dibuka bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 13 Mac, isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway tular di media sosial dan mengundang kemarahan ramai.

Pengasas KK Super Mart pada Sabtu berkata pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis pasar raya terbabit tanpa pemantauan pekerjanya.

Menurut Datuk Seri Dr KK Chai, pemeriksaan 800 cawangan KK Super Mart seluruh negara mendapati hanya tiga premis mempunyai stoking terbabit melibatkan 14 pasang tertera kalimah Allah.

 


Pengarang :