AGENDANASIONAL

Lebih 34,000 kes tipu dalam talian tahun lalu, rugi RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Sejumlah 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 billion dilaporkan di seluruh negara tahun lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Berdasarkan statistik 2023, beliau berkata kes jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS), tipu penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon merupakan antara kes tertinggi yang direkodkan dengan 10,348 kes membabitkan kerugian RM352.9 juta.

“Dalam isu ini juga Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berperanan untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan jenayah dalam talian.

“Untuk makluman, sepanjang tahun 2023, sebanyak 6,434 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan NSRC dengan melibatkan jumlah kerugian RM105.4 juta,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Shamsul Anuar berkata daripada jumlah itu sebanyak RM17.5 juta berjaya disekat sebelum dikeluarkan oleh penjenayah dan kira-kira RM178,000 jumlah sitaan dipulangkan kepada mangsa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Manolan Mohamad mengenai langkah-langkah kementerian bagi mengatasi isu scammer atau penipu yang mengakibatkan kerugian dan kehilangan wang dalam akaun simpanan mangsa.

Shamsul Anuar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi jenayah penipuan dalam talian antaranya perkhidmatan portal Semak Mule dan mewujudkan platform media sosial bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai jenayah scam kepada masyarakat.

Katanya sepanjang 2023, sebanyak 1,610 pameran dan 3,727 ceramah berkaitan scam telah dianjurkan bagi memberikan pencerahan serta kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah itu.

– BERNAMA


Pengarang :