Pengunjung memilih barangan asas pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sementa di Dewan Palembang, Jalan Palembang pada 18 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengunjung harap JER diteruskan, tidak sabar tunggu edisi Aidilfitri

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 18 MAC: Pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berharap program itu diteruskan dan tidak sabar menanti edisi Aidilfitri.

Mengakui mendapat makluman Kerajaan Negeri akan menganjur jualan mega, pesara konduktor bas, Mohd Yusof Salleh, 80, menyifatkan ia menjimatkan kos membeli persiapan raya.

Mohd Yusof Salleh

“Saya tidak sabar dan berharap ia diadakan berdekatan dengan rumah kerana faktor usia menghalang untuk ke tempat yang lebih jauh.

“Jika ia dapat diadakan di Sementa ini, pastinya ia menjadi berita baik untuk ramai penduduk di sini dalam membuat persiapan raya,” katanya.

Beliau menjadi pengunjung pertama JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di sini hari ini.

Senada, pesara awam, Sani Kasmuri, 64, berkata jualan murah itu perlu diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Bukan senang untuk dapatkan harga serendah RM10 bagi sepapan telur dan seekor ayam.

Sani Kasmuri

“Beratur dan menunggu giliran bukannya satu penghalang sebaliknya inisiatif Kerajaan Negeri ini adalah untuk meringankan beban rakyat.

“Saya harap ia diteruskan dan sempena perayaan menjelang tiba ini, perbanyakkan program di lokasi tumpuan seperti di DUN Sementa ini,” katanya.

Liza Mad Said, 54, pula berharap Jualan Mega Aidilfitri dapat dibuat pada penghujung Ramadan bagi memberi ruang kepada penduduk merancang kewangan mereka.

“Jika ia diadakan terlalu awal, mungkin akan ada yang terlepas pandang, jadi mungkin satu minggu sebelum raya dijalankan membolehkan pengunjung berbelanja dengan berhemah.

“Dengan tawaran harga yang dijual sangat mampu milik, saya yakin inisiatif Kerajaan Negeri sangat membantu rakyat berpendapatan rendah dalam meringankan beban perbelanjaan mendapatkan keperluan asas seperti ayam, telur, daging dan beras,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rantau Panjang, Siti Zubaidah Jamaludin

Sementara itu ahli jawatankuasa biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rantau Panjang berkata lebih 200 keluarga kampung terbabit menerima manfaat JER hari ini.

“Walaupun kehadiran pengunjung agak perlahan memandangkan bulan Ramadan dan sesi persekolahan baru bermula, namun ia tetap mendapat sambutan daripada penduduk sekitar.

“Kami berharap akan ada slot jualan mega berdekatan kawasan ini bagi memberi peluang kepada penduduk kampung yang rata-rata adalah daripada warga emas dan berpendapatan rendah untuk mendapat bahan mentah asas dengan harga mampu milik menjelang Aidilfitri ini,” kata Siti Zubaidah Jamaludin.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

 


Pengarang :