Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 22 Mohd Zulkifli Ridzwan (lima, kanan) bersama penerima sumbangan pada majlis berbuka puasa komuniti Harvest of Hope serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Surau Al-Falah Kampung Orang Asli Broga, Hulu Langat pada 16 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Keluarga masyarakat Orang Asli dirai, terima bakul makanan, bantu ringan beban

HULU LANGAT, 17 MAC: Lebih 60 keluarga masyarakat Orang Asli dari Kampung Orang Asli Broga, Semenyih di sini menerima sumbangan bakul makanan sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 22 Mohd Zulkifli Ridzwan berkata sumbangan terdiri daripada barangan asas termasuk beras, minyak, kicap, tepung, gula, bihun, sardin, kurma, kopi dan kuih raya yang disumbang pelbagai pihak.

Mohd Zulkifli menjelaskan program tanggungjawab sosial korporat CommUnity: Harvest of Hope itu anjuran bersama pelajar Diploma Komunikasi Korporat, Fakulti Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial Universiti Poly-Tech Malaysia serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia membuat persiapan sempena majlis berbuka puasa komuniti Harvest of Hope dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Surau Al-Falah Kampung Orang Asli Broga, Hulu Langat pada 16 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Pengisian lain termasuk majlis berbuka puasa, gotong-royong menyediakan bubur lambuk, pertandingan mewarna bersama kanak-kanak dan majlis berbuka puasa,” katanya selepas majlis penyerahan itu semalam.

Sementara itu Koordinator Program Fakulti Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial Universiti Poly-Tech Malaysia berkata program itu bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat.

“Seramai 29 pelajar terlibat dalam program ini yang turut memberi pendedahan mengenai komuniti dan budaya Orang Asli di negara ini,” kata Aida Suhana Abdul Hamid.

Kanak-kanak Orang Asli menerima hadiah pertandingan mewarna sempena majlis berbuka puasa komuniti Harvest of Hope dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Surau Al-Falah Kampung Orang Asli Broga, Hulu Langat pada 16 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tok Batin Kampung Orang Asli Broga Ilan Johos berkata sumbangan bakul makanan itu meringankan beban penduduk kampung khususnya dalam bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Sudah lama program seperti ini tidak dianjurkan di kampung ini. Diharap ia dapat diadakan lagi sekali gus mengeratkan hubungan antara masyarakat dan Orang Asli,” katanya.

Tok Batin Kampung Orang Asli Broga, Ilan Johos. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penggerak Masyarakat Orang Asli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Kampung Orang Asli Broga berkata aktiviti itu sekali gus memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli bukan Islam mengenai ibadah berpuasa yang dilaksanakan umat Islam.

“Di kampung ini kira-kira 50 penduduk beragama Islam dan selebihnya sekitar 200 bukan beragama Islam. Program seperti ini akan memberi lebih pemahaman mengenai agama Islam kepada mereka,” kata Lukmanulhakim Mat Nor.

Masyarakat Orang Asli ketika majlis berbuka puasa komuniti Harvest of Hope dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Surau Al-Falah Kampung Orang Asli Broga, Hulu Langat pada 16 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia memasak bubur lambuk sempena majlis berbuka puasa komuniti Harvest of Hope dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Surau Al-Falah Kampung Orang Asli Broga, Hulu Langat pada 16 Mac 2024. Foto HARVEST OF HOPE
Kanak-kanak Orang Asli pada majlis berbuka puasa komuniti Harvest of Hope dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Surau Al-Falah Kampung Orang Asli Broga, Hulu Langat pada 16 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :