Suasana di bazar Ramadan SS6/1, Petaling Jaya pada 5 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lapan bazar Ramadan pilihan ramai, tawar aneka juadah berbuka

SHAH ALAM, 28 MAC: Malaysia dikenali sebagai syurga makanan dan Ramadan antara waktu yang ditunggu-tunggu terutamanya untuk berkunjung ke bazar.

Bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan, Tourism Selangor menyenaraikan lapan pilihan bazar Ramadan terbaik dan unik tahun ini, khas untuk warga tempatan dan pelancong.

Bazar Ramadan Bandar Baru Selayang, Gombak

Terletak bersebelahan Stadium Majlis Perbandaran Selayang, bazar ini menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa yang dicari setiap tahun seperti ayam bakar, martabak, tepung pelita dan putu bambu.

Dibuka dari jam 3 petang hingga 8 malam, jangan lupa masukkan bazar ini di dalam senarai anda!

Bazar Ramadan Taman Langat Murni, Kuala Langat

Bazar tumpuan di kawasan ini menawarkan harga berpatutan kepada pengunjung dengan pelbagai gerai seperti apam balik, mozarella corndog, nasi ambeng ayam kicap dan popia goreng.

Beroperasi jam 3.30 petang, pasti anda tidak mahu melepaskan peluang ke bazar Ramadan ini!

Bazar Ramadan Kompleks PKNS, Shah Alam

Bazar ini antara bazar paling ramai dikunjungi di Shah Alam seawal jam 3 petang. Setiap gerai menjual hidangan yang mendapat permintaan ramai seperti nasi briyani lamb shank, nasi tomato, nasi kerabu, ayam percik dan pelbagai lagi!

Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di bangunan Kompleks PKNS sendiri dan SACC Mall.

Bazar Ramadan Taman Sri Andalas, Klang

Merupakan antara bazar yang paling dinantikan penduduk Klang dan lama bertapak di situ. Ayam golek
madu, nasi lemak dan pelbagai jenis kuih-muih juga terdapat di sini.

Semestinya salah satu bazar yang boleh diserbu untuk mendapatkan juadah enak berbuka puasa!

Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Shah Alam

Terletak berdekatan pasar raya Giant dan pusat membeli-belah Aeon, bazar ini menawarkan harga yang sangat berpatutan kepada pengunjung yang hadir di sini.

Pelbagai juadah menarik yang boleh anda jumpai seperti cendol, kuih donat pelbagai perisa, jus tembikai segar dan kambing bakar. Bazar ini juga menawarkan makanan antarabangsa seperti sushi, mac & cheese dan nasi mandy dari Chef Ammar.

Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya

Untuk yang menetap di kawasan Subang, bazar ini semestinya menjadi buruan. Dibuka seawal jam 3 petang, sebanyak 160 gerai menyediakan pelbagai juadah roti john, nasi lemak dan air mangga float.

Terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, bazar ini amat mudah dikenal pasti kerana kedudukannya di tepi jalan.

Bazar Ramadan Jalan SS6/1, Kelana Jaya

Terletak di hadapan Jaya One, bazar ini menawarkan harga berpatutan kepada pengunjung dengan 197 gerai yang menjual air kasturi asam boi, ayam percik dan karipap gergasi.

Juga menawarkan makanan antarabangsa seperti ayam goreng Korea, pizza, sushi dan pasta.

Bazar Ramadan Sungai Besar, Sabak Bernam

Bazar ini menghimpunkan juadah berbuka puasa yang terkenal seperti roti john, tepung pelita, kebab dan ayam panggang. Boleh juga nikmati hidangan tradisional Jawa seperti nasi ambeng dan pecal.

Ia dibuka seawal jam 3 petang hingga 7.30 malam tetapi pengunjung disyorkan untuk tiba lebih awal kerana bazar ini antara yang agak sesak dengan pengunjung sepanjang Ramadan.

Layari laman web rasmi Tourism Selangor www.selangor.travel atau ikuti akaun media sosial rasmi di Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube. #PusingSelangorDulu.


Pengarang :