AGENDAJENAYAH

Lelaki bakar mercun di jalan raya ketika perarakan pengebumian ditahan polis

SHAH ALAM, 28 MAC: Polis menahan pembantu bengkel yang disyaki membakar mercun di tengah jalan raya, ketika perarakan pengebumian berdekatan sebuah pasar raya di Banting, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata lelaki berusia 28 tahun itu, ditahan 3.30 petang di sekitar kawasan Banting dan hasil saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Beliau berkata lelaki terbabit mengambil bahagian dalam perarakan itu bersama beberapa penunggang motosikal lain, dan bertindak menahan kenderaan orang awam dan membakar mercun di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh. Foto BERNAMA

“Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut, dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat juga mengeluarkan tiga saman terhadap suspek berkaitan kesalahan lalu lintas.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis giat mengesan dua lagi suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu yang tular di media sosial,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :