Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Bagasi berisi lebih RM500,000 belum dituntut, polis tunggu pemilik tampil

SHAH ALAM, 28 MAC: Bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 masih belum dituntut biar pun sudah lebih seminggu selepas dijumpai di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, 20 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat hari ini pemiliknya masih belum tampil.

“Bagasi itu masih belum dituntut dan kita (polis) masih menunggu pemiliknya hadir,” katanya lapor Sinar Harian hari ini.

Isnin lalu, Hussein memaklumkan pengarah sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) yang mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya masih belum tampil kepada pihak polis untuk memberi keterangan atas faktor kesihatan.

Polis menerima laporan yang dibuat syarikat itu pada 21 Mac di Shah Alam.

Namun, pengarah syarikat terbabit dilaporkan belum tampil untuk memberi keterangan kepada Ketua Polis Balai Damansara sebagai bukti dan rekod mengenai pengesahan wang tunai itu.

Media sebelum ini melaporkan, pengawal keselamatan menemukan bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara.


Pengarang :