Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) Dr Johan Kamal Hamidon berucap ketika majlis Penajaan Rasmi Citadel Group Tech X Selangor FC di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 24 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Penolong jurulatih baharu Selangor FC masih diteliti, cari berpengalaman

PETALING JAYA, 26 MAC: Pembantu jurulatih baharu Selangor FC masih dalam pemilihan ketua jurulatih kelab itu Nidzam Jamil, kata Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Datuk Dr Johan Kamal Hamidon.

Beliau berkata kelab itu memberi 100 peratus tanggungjawab kepada pengendali berusia 43 tahun itu untuk memilih individu yang akan membantunya dalam mengendali skuad Gergasi Merah bagi musim ini.

“Kita akan membawa masuk dua ke tiga pegawai baharu, Nidzam sedang meneliti resume, kita memberi mandat dan tanggungjawab ini kepada Nidzam untuk memilih sendiri siapa yang perlu ada dalam barisan beliau.

“Ada beberapa calon, berkemungkinan ketua jurulatih akan bawa masuk seorang penolong jurulatih dari luar negara, antaranya beliau (calon) pernah menjadi pemain di Malaysia zaman Nidzam, dari Australia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Selangor FC di sini malam tadi.

Sementara itu, Nidzam berkata beliau mahu seorang jurulatih tempatan dan seorang jurulatih luar membantunya untuk memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini.

“Kita ada kenal pasti calon, kita akan bawa masuk jurulatih dari luar dan seorang tempatan, dalam masa sama kita kena ada jurulatih tempatan untuk mantapkan Selangor FC.

“Kriteria paling penting untuk bakal pembantu jurulatih ialah dia berpengetahuan luas, tahu hala tuju Selangor FC, jelas tentang cita-cita kami, dan ada pengalaman di peringkat Asia,” katanya.

Nidzam yang merupakan pengendali sementara Selangor FC diumumkan secara rasmi selaku ketua jurulatih pasukan itu bagi musim 2024/25 pada 16 Mac lepas.

Skuad Gergasi Merah sebelum ini dibimbing ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dengan dibantu Nidzam dan Roman Marcote, bagaimanapun Cheng Hoe kini bersama kelab Liga 1 Thailand, Police Tero FC.

-BERNAMA


Pengarang :