Orang ramai mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (Padu) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 8 juta individu seluruh negara kemas kini data Padu, Selangor tertinggi

SHAH ALAM, 26 MAC: Sejumlah 8.09 juta individu di seluruh negara mengemas kini data masing-masing dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) setakat semalam.

Menurut infografik di Facebook Padu Official, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi pendaftaran dengan 1.26 juta individu diikuti Johor (860,000), Sarawak, (860,000), Perak (780,000), Sabah (700,000) dan Kedah (600,000).

Selain itu, seramai 540,000 individu sudah mendaftar Padu di Kelantan, Kuala Lumpur (480,000), Pahang (450,000), Terengganu (390,000), Negeri Sembilan (340,000), Melaka, (240,000), Perlis (90,000), Putrajaya (30,000) dan Labuan (20,000).

“Tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia yang telah berjaya membuat pengemaskinian maklumat dalam sistem PADU.

“Sehingga 25 Mac, jumlah rekod pengemaskinian maklumat individu adalah seramai 8.09 juta orang daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem Padu berdasarkan sumber data pentadbiran,” menurutnya.

Sistem Padu yang dilancarkan pada 2 Januari lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dikemas kini menerusi pautan www.padu.gov.my sehingga 31 Mac.

Individu berumur 18 tahun ke atas terutama ketua isi rumah disaran mendaftar segera dengan sistem Padu bagi mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.

Berbaki enam hari lagi, orang ramai yang belum berkesempatan mendaftar dipelawa berbuat demikian di lebih 50 kaunter fizikal mulai 9 pagi hingga 4 petang melibatkan sembilan daerah.

 


Pengarang :