EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (empat dari kanan) ketika bertemu wakil kilang syarikat Goodyear pada 26 Mac 2024. Foto Facebook V Papparaidu
EXCOSELANGOR

Puluhan syarikat buka kaunter tawar kerja buat kakitangan Goodyear

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 28 MAC: Sebanyak 22 syarikat akan membuka kaunter tawaran kerja di kilang syarikat pengeluar tayar global Goodyear di sini pada 22 hingga 26 April bagi pemilihan pekerja baharu.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu menjelaskan usaha tersebut bagi membantu kakitangan mencari peluang baharu berikutan penutupan kilang pada 30 Jun, selepas lebih 40 tahun beroperasi.

“Ini adalah inisiatif baik yang mana pekerja Goodyear akan diberikan tawaran kerja baharu berdasarkan pengalaman mereka,” katanya di Facebook.

Tambahnya, Pertubuhan Keselamatan Sosial Selangor turut memastikan pekerja syarikat itu berdaftar bawah program MyFutureJobs dan Orang Berinsurans untuk dipadankan kekosongan jawatan bersesuaian.

Pada 7 Mac, Goodyear dilaporkan membuat keputusan untuk menutup operasi kilang pembuatannya di Shah Alam, sekali gus menjejaskan kira-kira 550 kakitangannya.

Presidennya di rantau Asia Pasifik Nathaniel Madarang berkata penutupan itu sebahagian daripada pelan transformasi syarikat untuk mengoptimumkan pengeluaran dan portfolionya.

 


Pengarang :