AGENDAJENAYAH

Simpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen, peniaga didenda RM70,000

BUTTERWORTH, 19 MAC: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang peniaga RM70,000, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen dan permit pada Julai 2023.

Loh Kok Keong, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, yang turut memerintahkan penjara 30 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Loh didakwa menyimpan empat ekor Ball Python iaitu sejenis hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa lesen daripada Jabatan Perhilitan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada lebih kurang 8.40 malam, 16 Julai 2023 dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

Mengikut pertuduhan kedua tertuduh didakwa menyimpan 193 ekor Ball Python tanpa lesen, di sebuah premis kediaman di Lorong Tembusu di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada lebih kurang 9.00 malam, 16 Julai 2023.

Bagi pertuduhan ketiga sehingga ketujuh, Loh didakwa menyimpan tanpa lesen seekor Leopard Tortoise, dua ekor Yellow Footed Tortoise, dua ekor Indian Star Tortoise, dua ekor Sulcata Tortoise dan dua ekor Green Iguana.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kediaman di Taman Cengal pada jam 12.20 tengah malam, 17 Julai 2023.

Ketujuh-tujuh kesalahan dikemukakan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa PERLIHITAN Nazarudin Kamarudin dan Nadzatul Nattassha Mustapa Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam Foong Choon Kit.

— BERNAMA


Pengarang :