Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Empat ditahan terlibat kes pukul dua pelajar lelaki di Kajang

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Polis menahan empat lelaki di sekitar Ampang di sini semalam selepas disyaki menyerang dua pelajar sekolah menengah dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Sungai Long, Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata penahanan kesemua suspek berumur lingkungan 18 hingga 21 tahun itu dilakukan susulan laporan polis diterima pihaknya pada 3.04 petang, Khamis lepas.

Beliau berkata dalam insiden terbabit, mangsa berusia 16 dan 17 tahun itu telah diserang oleh sekumpulan lelaki kira-kira 10 orang menggunakan senjata iaitu batang paip PVC dan batang besi, sebelum suspek kemudiannya melarikan diri menaiki dua kenderaan.

“Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan akibat dipukul. Suspek kini ditahan reman bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata usaha mengesan saki-baki suspek yang terlibat masih giat dilakukan pihaknya dan punca kejadian masih tidak dapat dikenal pasti.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta untuk hadir ke mana-mana balai berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Mu’az Mazlan melalui talian 017-9788804,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 16 saat dalam laman media sosial Facebook memaparkan aksi pergaduhan yang menunjukkan waktu kejadian merupakan waktu tamat persekolahan sesi pagi.

– BERNAMA

 


Pengarang :