AGENDAJENAYAH

Sindiket guna tong gas edar dadah, enam individu ditahan

KUCHING, 19 MAC: Polis Sarawak menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Miri, bahagian utara Sarawak melibatkan 21.7 kilogram (kg) metamfetamina atau syabu bernilai lebih RM700,000 yang disembunyikan dalam tong gas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chong berkata dalam serbuan Ahad lalu, empat lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 50 ditahan.

“Sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandi yang digunakan adalah mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung, kemudian mengubah suai tong gas dengan memasukkan sejumlah dadah sebelum dihantar ke lokasi yang ditetapkan untuk dipasarkan ke negara jiran.

“Turut dirampas dalam operasi ini ialah wang tunai berjumlah RM52,000, barang kemas dengan anggaran nilai RM54,941.40 dan empat kenderaan bernilai RM194,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM1.02 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Khaw berkata hasil saringan awal juga mendapati seorang daripada suspek positif dadah serta mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tiga hari.

– BERNAMA


Pengarang :