Sukarelawan menyusun makanan tidak habis terjual melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di bazar Ramadan Stadium Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

6,000 kg lebihan juadah terkumpul, MBSA hasrat perluas ke bazar Ramadan lain

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengumpul 6,083 kg lebihan juadah di bazar Ramadan sepanjang dua minggu program MySave Food@Bazar Ramadan berlangsung.

Datuk Bandar Ir Cheremi Tarman berkata sambutan daripada peniaga amat memberangsangkan sekali gus mengelak berlakunya pembaziran makanan.

“Kita cadang untuk perluaskan lagi program ini dengan tambahan lebih banyak bazar Ramadan pada tahun depan berbanding tiga bazar sahaja pada tahun ini.

“Program ini mendapat maklum balas positif dan pada masa sama kita dapat membantu golongan memerlukan mendapatkan makanan,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman membantu penunggang motosikal mengisi minyak petrol sempena program ‘Jom Isi Minyak Percuma’ anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam di stesen minyak Petronas Seksyen 7, Shah Alam pada 2 April 2024. Foto Majlis Bandaraya Shah Alam

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma di Stesen Minyak Petronas Seksyen 7 di sini hari ini.

Program MySave Food@Ramadan Bazar dimulakan MBSA sejak empat tahun lalu dengan mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan kurang berkemampuan.

Pada tahun ini, program diadakan dari Isnin hingga Jumaat membabitkan tiga bazar Ramadan iaitu di Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

Pelajar mengambil makanan yang disalurkan melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di Pusat Islam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :