EXCO Belia Najwan Halimi berucap pada Majlis perasmian program Jom Baca Bersama 10 Minit di Ruang Santai, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 23 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Bantuan RM1,500 ringan beban ratusan keluarga terjejas bah

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan menghulurkan bantuan RM1,500 kepada setiap keluarga yang berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka terjejas banjir baru-baru ini.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata RM1,000 disumbangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala RM500 lagi oleh Kerajaan Negeri.

“Mengikut rekod kita, sebanyak 178 keluarga yang tinggal di tiga PPS iaitu 90 keluarga di daerah Petaling, 15 keluarga di Kuala Selangor dan 73 keluarga di Klang.

“Bantuan secara one-off itu akan diserahkan kepada setiap isi rumah yang berlindung di PPS pada musibah banjir baru-baru ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ditemui pada program Jom Baca Bersama 10 Minit di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, Najwan berkata mangsa banjir yang tidak berlindung di PPS juga dibenarkan memohon bantuan kewangan berkenaan.

EXCO Belia Najwan Halimi (tengah) turut serta membaca buku pada majlis perasmian program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit di Ruang Santai, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 23 April 2024. Turut hadir Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Suzliana Abdul Hamid (dua, kanan) Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid (kanan) dan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (dua, kiri). Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Mereka yang tidak tinggal di PPS boleh membuat laporan polis mengenai bencana masing-masing dan kemukakan permohonan ke pejabat daerah untuk kita selaraskan bantuan,” katanya.

Hujan lebat luar biasa dan berpanjangan pada minggu lalu menenggelamkan beberapa kawasan antaranya di Sungai Buloh, Subang dan Meru.

Tiga PPS dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Sungai Buloh; Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Desa Coalfields, dan di SK Sungai Binjai, Meru.

Keadaan rumah yang dinaiki air susulan banjir kilat ketika tinjauan di sekitar Kampung Melayu Subang pada 17 April 2024. Foto BERNAMA

Pengarang :