Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Sindiket tumpas, Kastam rampas minuman keras, rokok bernilai RM885,000

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok dan arak di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata rampasan pertama pada 21 Mac lepas, membabitkan sebuah kontena membawa 4,030 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM21,000 dengan jumlah cukai dan duti RM51,610.

“Modus operandi adalah meletakkan tuala dan beberapa barangan lain diletakkan di hadapan kontena, sebaliknya minuman keras tanpa cukai disorokkan di bahagian belakang kontena,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan pada 2 April lepas, sebuah kontena diperiksa yang membawa kepada penemuan 864,000 batang rokok putih cuba diseludup masuk dari negara jiran dianggar bernilai RM864,000 dan melibatkan jumlah cukai serta duti yang RM656,640.

“Berdasarkan maklumat dalam ‘Bill of Lading’, dagangan tersebut diikrarkan sebagai lampu laman dari negara jiran bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan,” katanya.

Norlela berkata hasil pemeriksaan ke atas kontena bersama wakil perkapalan menemukan rokok putih disyaki tidak berkastam dan pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai.

Keseluruhan rampasan bernilai RM885,000 dan jumlah cukai serta duti sebanyak RM708,250.

– BERNAMA


Pengarang :