Pemain Skuasy Wanita Negara Aifa Azman bersama Jaguh Power-lifting Bonnie Bunyau Gustin membawa Jalur Gemilang bagi kontinjen Malaysia pada Majlis Perasmian Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander pada 28 Julai 2022. Kontinjen Malaysia diwakili oleh 162 membabitkan 104 atlet, 44 pegawai dan 13 kakitangan, dengan sasaran membawa pulang enam pingat emas. – Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Tuan rumah Sukan Komanwel diputus Mei, cadang berwajah baharu

LONDON, 8 APRIL: Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) merancang untuk mengumumkan tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bulan depan sementara ia menilai pelbagai cadangan mengenai penganjuran temasya sukan itu dengan wajah baharu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

CGF berkata ia merahsiakan cadangan itu pada ketika ini kerana ia sedang mencari pengganti kepada Victoria, sebuah negeri di Australia yang menarik diri daripada menjadi tuan rumah pada musim panas lepas.

Satu kenyataan daripada CGF berkata:”Kemajuan ketara telah dicapai dan kami teruja dengan konsep awal yang menyasarkan untuk mengeset semula dan mengolah semula sukan itu.

“Kami sekarang sedang bekerjasama dengan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) berkaitan untuk membuat penilaian lebih terperinci dan menyasarkan untuk mengumumkan tuan rumah Sukan Komanwel 2026 pada Mei.”

Bulan lepas, Majlis Olimpik Malaysia berkata ia sedang dalam perbincangan dengan CGF bagi menganjurkan temasya sukan itu tetapi menarik diri kemudian dengan Singapura juga membuat keputusan awal minggu ini untuk tidak meneruskan bidaan sebagai tuan rumah.

Victoria yang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 2018 menarik diri daripada proses itu pada Disember.

Tuan rumah baharu akan mendapat £100 juta (US$126 juta) dalam bentuk sokongan kewangan dan strategik daripada CGF. Semasa Victoria menarik diri, Ketua Menterinya Daniel Andrews berkata kos panganjurannya mungkin mencecah £3.6 bilion.

CGF berkata ia sedang mencari jalan untuk menjadikan sukan itu lebih mampan pada masa akan datang.

“Apa yang penting kami telah menumpukan bagaimana kami akan melakukan perubahan pada sukan ini kepada sebuah model kerjasama yang benar-benar mampan, meminimumkan kos dan mengurangkan kesannya kepada alam sekitar dan meningkatkan kesan sosial.

Menerusi usaha ini, kami menyasarkan bagi menghasilkan sebuah rangka tindakan untuk masa hadapan yang memberi inspirasi kepada atlet dan mengujakan Persekutuan Antarabangsa serta mereka yang berpotensi menjadi tuan rumah dan akan memberi manfaat kepada Pergerakan Sukan Komanwel yang lebih meluas,” katanya.

-BERNAMA-dpa


Pengarang :